29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PKP 4 negeri sambung, had pergerakan 10 km batal

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang dijadualkan berakhir pada 18 Februari ini dilanjutkan lagi selama 14 hari sehingga 4 Mac.

Pelanjutan tempoh itu dibuat memandangkan kadar jangkitan baharu COVID-19 di empat negeri terbabit masih tinggi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri-negeri lain iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, WP Putrajaya, WP Labuan serta Sabah akan diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB).

Menurut beliau, PKP Pemulihan (PKPP) pula dikuatkuasakan di Perlis memandangkan jumlah kes jangkitan COVID-19 agak rendah.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri Sarawak telah mengumumkan
pelanjutan PKPB di seluruh Sarawak bermula 15 Februari
sehingga 1 Mac 2021.

“Semua yang saya umum tadi melibatkan tempoh dua minggu iaitu berkuat kuasa bermula 19 Februari sehingga 4 Mac 2021.

“Selepas itu, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membuat penilaian risiko sekali lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan, hari ini.

Ismail Sabri
ISMAIL SABRI YAACOB

Ismail Sabri menambah, kerajaan turut membatalkan arahan tidak boleh bergerak melebihi 10 kilometer radius di semua negeri mulai hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, pergerakan merentas daerah (kecuali di Perlis ) dan negeri masih dilarang.

“Perinciannya saya akan umum Khamis ini,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPB dan PKPP pula adalah sama dengan yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Beliau juga akan memaklumkan SOP tersebut pada Khamis ini.

Advertisements

Ismail Sabri menjelaskan, secara keseluruhan, pelaksanaan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak sebelum ini berjaya mengurangkan kadar jangkitan kes baharu COVID-19.

PKP
Pergerakan rentas negeri dan daerah tak dibenarkan di kawasan PKP.

Ismail Sabri turut mengumumkan PKP Diperketatkan (PKPD) Kompleks Penjara Bentong, Pahang dan kuarters yang sepatutnya tamat pada 22 Februari berakhir lebih awal iaitu esok.

Selain itu PKPD di Felda Lasah dan Kampung Besi Api di Kuala Kangsar, Perak; Felda Tersat Kuala Berang dan Tapak Bina Kuarters TNB Kuala Berang di Hulu Terenggganu, Terengganu berakhir esok seperti yang dijadualkan.

Beliau menambah, PKPD akan dilaksanakan di Kampung Sungai Maong, Kuching, Sarawak mulai 17 Februari hingga 2 Mac.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak iaitu dalam tempoh 12 sehingga 15 Februari 2021 sebanyak 13 kes positif COVID-19 telah direkodkan melibatkan lokaliti ini,” ujarnya.

Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan PKPD untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas kira-kira 700 orang penduduk dan untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

Berhubung penguatkuasaan, beliau memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 596 individu semalam atas kesalahan ingkar SOP PKP.

“Daripada jumlah itu, 532 telah dikompaun manakala 64 individu direman.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tiada penjarakan fizikal (155), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (134), tidak memakai pelitup muka (121), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (83), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (17) dan lain-lain (86),” katanya.

Pasukan keselamatan juga berjaya mengusir 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki sempadan negara dalam Op Benteng semalam.

Mereka juga berjaya menahan seorang PATI, dua penyeludup serta merampas dua buah kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.

Dalam operasi itu juga, 111 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan