24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Penjara Tapah, kuarters bawah PKPD mulai 16 Februari

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Penjara Tapah, Perak dan kuarters kakitangannya mulai esok hingga 1 Mac ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 187 ujian saringan ke atas kontak rapat dan daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes positif COVID19 telah direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara ini sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, PKPD Penjara Sungai Udang, Melaka yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan sehingga 2 Mac.

Walau bagaimanapun, lanjutan PKPD itu tidak melibatkan kuarters kakitangan penjara berkenaan kerana penularan kes positif COVID-19 tidak membabitkan kakitangan dan ahli keluarga mereka.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 1,234 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif, sebanyak 331 kes telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan peningkatan kes masih berlaku dalam kalangan tahanan dan terdapat baki 21 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” jelasnya.

PKPD di dua lagi lokaliti iaitu Felcra Nasaruddin, Perak dan Kampung Sungai Ud, Dalat, Sarawak tamat esok seperti yang dijadualkan.

Advertisements

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, seramai 1,111 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar SOP PKP dan daripada jumlah itu, 1,040 dikompaun manakala 71 lagi individu direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (306), tiada penjarakan fizikal (300), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (107), tidak memakai pelitup muka (97), keluar rumah tanpa alasan munasabah (68), membawa penumpang berlebihan (58), aktiviti pusat hiburan (55), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (11) dan lain-lain (109),” ujarnya.

penjara
Gambar hiasan: Facebook Polis Daerah Petaling Jaya

Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 78,369 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Seramai 2,978 Pasukan Pematuhan melibatkan 14,648 anggota telah membuat pemantauan di 6,048 buah restoran, pasar raya (4,217), bank (3,858), penjaja (2,625), kilang (1,715) dan pejabat kerajaan (681).

Turut dipantau adalah 1,164 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (267) dan terminal pengangkutan udara (91).

Beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menangkap seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas enam kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 91 buah bot/kapal di perairan negara melalui enam (6) aktiviti penglihatan,” jelasnya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 2,698 pemeriksaan khas pematuhan SOP.

“Daripada jumlah itu, 2,694 premis mematuhi SOP, tiga diberi nasihat manakala satu lagi premis dikompaun,” kata Ismail Sabri. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan