36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pelakon komedi Ng Man Tat tutup tirai buat selama-lamanya

Mesti Baca

PEMINAT bintang komedi Hong Kong, Stephen Chow pasti sangat mengenali Ng Man Tat yang sering bergandingan dengannya dalam banyak filem.

Antara filem yang dibintangi mereka adalah Shaolin Soccer, Fight Back to School, A Chinese Odyssey, Hail the Judge dan banyak lagi.

Semalam, Man Tat yang lebih popular dalam kalangan peminatnya sebagai Uncle Tat telah meninggal dunia.

Beliau berusia 70 tahun dan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital.

Memetik laporan CGTN, sahabat Man Tat, Tin Kai-man memberitahu media bahawa pelakon veteran itu kelihatan tenang semasa dia meninggal dunia, seolah-olah sedang tidur.

Pada pagi Sabtu, hospital mengeluarkan pemberitahuan bahawa Uncle Tat berada dalam keadan kritikal.

Sejurus kemudian, ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan Uncle Tat mengunjunginya di hospital untuk kali terakhir.

Dia dilaporkan menghidap kanser limpa dan menerima rawatan kemoterapi.

Mendiang memberitahu rakan-rakannya bahawa kesakitan yang dialaminya adalah terlalu sukar untuk ditanggung.

Ketika itu, dia mengambil morfin setiap empat jam sekali untuk melegakan kesakitan namun ia tidak lagi berkesan.

Uncle Tat sentiasa memegang sebiji lemon dan menjilatnya dari semasa ke semasa untuk merangsang pengeluaran air liur.

Dilahirkan di Xiamen, Fujian, timur China dan berpindah ke Hong Kong bersama keluarganya ketika berumur tujuh tahun.

Beberapa orang ahli keluarga Uncle Tat merupakan pelawak terkenal.

Pada 1973, Man Tat mengikuti kursus latihan dalam bidang lakonan dan memulakan langkah dalam industri filem dan televisyen.

Mendiang mula bergandingan dengan Stephen sekitar 1980-an dan filem-filem lakonan mereka menerima sambutan memberangsangkan di luar Hong Kong termasuk di Malaysia.

Selain berlakon bersama Stephen, Man Tat turut memainkan peranan sebagai watak sokongan untuk pelakon-pelakon terkenal yang lain.

Namun, Man Tat tidak berkecil hati, malah dia berkata, “Dengan bantuan pelakon sokongan, protagonis dapat melakonkan wataknya dengan baik.”

Kali terakhir dia berlakon adalah pada 2017 iaitu dalam filem sains fiksyen The Wandering Earth yang dihasilkan di China.

Filem tersebut mengandungi banyak babak aksi dan Man Tat pernah pitam beberapa kali akibat kesukaran bernafas yang berpunca daripada masalah jantung.

Walaupun ramai yang bimbang tentang tahap kesihatannya, mendiang tetap berkeras untuk meneruskan lakonannya kerana dia percaya The Wandering Earth mempunyai skrip yang sangat bagus.

Dia juga mahu menyumbang dalam pembikinan filem sains fiksyen China.

Berita kematian Man Tat menjadi tajuk utama kebanyakan media dan popular di Weibo dengan mencatatkan lebih 1.27 bilion tontonan.

Ramai netizen termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah atas pemergian Uncle Tat. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan