27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Usahawan Bumiputera perlu capai empat sasaran utama

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

BARU-BARU ini, penulis dijemput untuk menyertai satu perbincangan serius berkaitan ekonomi dan masa depan negeri Perak oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anak Perak yang begitu prihatin dengan kedudukan ekonomi Perak, khususnya golongan B-40 yang dilihat antara yang tertinggi di Malaysia.

Sesi perbincangan hebat yang disertai oleh bekas wakil-wakil rakyat Perak, bekas pegawai kerajaan di Perak, golongan profesional, pengamal undang undang dan sebagainya pada pandangan penulis telah berjaya menghasilkan rumusan sangat baik untuk dijadikan landasan membangunkan Perak yang suatu masa dahulu adalah negeri terkaya.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini, apabila jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikategorikan B-40 di Perak berada sekitar 100,000 orang, menjadikan Perak kelihatan antara negeri termiskin di Malaysia.

Pelbagai cadangan dikemukakan sebagai penyelesaian masa kini dan masa hadapan yang bersifat logik dan realistik. Jika diukur berasaskan kaum-kaum di Malaysia, maka jawapan kepada persoalan ini pastilah kesannya kepada Kaum Bumiputera kerana majoriti B40 ini adalah Bumiputera.

Lebih meresahkan apabila wujud pula kategori baru iaitu golongan B50 yang jika dicantumkan dengan B40 akan menjadi lebih banyak KIR yang dikategorikan miskin.

Jika 100,000 KIR adalah B40, bayangkan nasib keluarga terutama anak-anak mereka? Seandainya setiap keluarga mempunyai 5 orang ahli keluarga (terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak), bererti seramai 500,000 rakyat miskin berada di Perak.

Antara penyelesaian isu ekonomi ini ialah mewujudkan peluang perniagaan yang mencukupi kerana Islam sendiri meletakkan perniagaan sebagai kunci penguasaan ekonomi ummah melalui hadis Rasulullah yang mengatakan 9/10 daripada rezeki adalah daripada perniagaan.

Ini merupakan kenyataan yang sangat tepat tetapi apakah matlamat dan pencapaian yang perlu menjadi sasaran penting kepada usahawan Bumiputera selepas bertungkus- lumus berniaga?

Dalam mana-mana ceramah penulis tentang perniagaan dan keusahawanan, penulis sering menegaskan tentang perlunya empat perkara yang perlu menjadi sasaran keberhasilan usahawan (KPI) iaitu kedudukan kewangan yang kukuh, pegangan ekuiti, pemilikan asset dan legasi yang akan meneruskan kesinambungan perniagaan warisan.

Apakah keempat-empat matlamat tersebut boleh dicapai atau retorik semata-mata? Oleh kerana penulis sudah melalui proses tersebut, maka penulis telah membuktikan kesemua itu boleh dicapai jika semua pihak mempunyai perancangan, sikap dan jiwa bekerja ke arah itu.

Sebagai makluman kepada pembaca, beberapa gerak kerja usahawan berasaskan komuniti yang sudah penulis laksanakan telah berjaya membuktikan keberhasilan empat perkara tersebut.

Lawatan pertama agensi kerajaan terhadap perusahaan Dodol Opah Yang pada tahun 2012 yang diusahakan secara tradisional di tepi rumah lama.

Bukti yang paling ketara ialah program melahirkan juara (champion) dalam sektor latihan kemahiran swasta (ILKS) melalui Skim Kluster Gabungan Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB), Masyarakat Perdagangan Perindustrian Bumiputera (BCIC2) yang diilhamkan oleh penulis ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5.

Bagi penulis, kejayaan yang agak luar biasa GILKSB ini masih boleh dilihat legasinya hingga kini (ada juga sedikit yang sudah lenyap akibat dasar semasa).

Daripada kelompok institusi latihan yang kelihatan lemah, tidak berdaya maju dan berdaya saing, GILKSB berjaya melakukan game changer, quick win dan quantum leaps (anjakan berganda) setelah skim berkenaan dilaksanakan.

Kekuatan kewangan ketika perlaksanaanya, membolehkan mereka memberikan perkhidmatan terbaik dan mencapai keberhasilan yang tinggi.

Hampir kesemua ahli GILKSB berjaya meningkatkan kapasiti ekuiti masing-masing, memiliki aset dan hartanah seperti bangunan dan kampus sendiri (terutama di Kuala Lumpur) serta warisan keluarga yang diteruskan oleh anak-anak masing-masing hingga kini.

Begitu juga dalam kelompok komuniti ekonomi Perak Tengah yang bermula dengan program Kerjasama Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), My Kampung, My Future Mukim Pulau Tiga (MKMF) di Kampung Gajah, Perak.

Sebelum menyertai program MKMF, kebanyakan usahawan berniaga secara sambilan tanpa syarikat dan premis yang baik. Kebanyakannya mengusahakan kegiatan ekonomi di rumah sahaja.

Penulis di hadapan bangunan mini kilang baru milik Opah Yang yang semakin
dibesarkan pada tahun lalu.

Setelah lapan tahun MKMF diasaskan, sebahagian peserta yang komited, berjaya memperlihatkan peningkatan empat perkara tersebut. Contohnya perusahaan Dodol Opah Yang di Kampung Empai, Pulau Tiga, Kampung Gajah.

Dahulunya hanyalah perusahaan tradisional di bawah rumah tetapi kini sudah mempunyai mini kilang berhampiran rumah yang menepati syarat pensijilan berkaitan kesihatan dan keselamatan makanan termasuk pensijilan halal.

Bergerak atas syarikat Era Empai Maju Enterprise, pengusahanya membuktikan perniagaan bahawa mereka berjaya menambah kekuatan penguasaan ekuiti pegangan saham syarikat-syarikat Bumiputera yang masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain secara kolektif di Malaysia.

Kesimpulan daripada matlamat empat sasaran utama keberhasilan usahawan ini ialah betapa perlunya kita meletakkan matlamat pencapaian ekonomi usahawan Bumiputera yang lebih serius, berdaya maju dan berdaya saing secara mapan dan jangka panjang.

Maka sudah pasti, pencapaian ini bukan hanya menghindarkan mereka daripada kategori B40 atau kemiskinan, bahkan dapat melonjakkan pencapaian sebagai usahawan yang setanding dengan orang lain.

Inilah yang diamalkan oleh kaum Bukan Melayu. Mereka bukan berniaga sekadar untuk saradiri atau sara hidup tetapi mempunyai wawasan yang lebih jauh dan bersifat survival jangka panjang.

Maka sebab itulah bila dikaji kedudukan ekonomi orang Melayu keseluruhannya, kita telah berada di tempat ketiga selepas Cina dan India.
Mengapa?

Jawapannya ialah kerana kita masih mempunyai mentaliti berniaga sekadar cukup makan. Jauh sekali mahu memikirkan legasi anak cucu.

Pemimpin memang bagus dari aspek membuat perancangan dasar tetapi perlaksanaannya amat lemah atas pelbagai sebab politik dan sikap kita semua yang tidak menjadikan empat perkara tersebut sebagai keutamaan hidup atau mati survival bangsa sendiri.

Apapun, penulis akhiri dengan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kedua ibu-bapa penulis yang telah mengasaskan salah satu aset dan perniagaan penulis iaitu IGROW Kampung Gajah yang kini terus dibangunkan dan dimanfaatkan bukan hanya di Malaysia, bahkan peringkat antarabangsa.

Hari ini IGROW adalah ikon negara yang menjadi aset berharga selama 3 generasi (setakat ini) yang diharap akan terus kekal selama-lamanya.

Allahyarham Abdul Malek Kulub Aji dan dan Allahyarhamah Sum Hashim adalah lambang, idola dan model ekonomi terbaik buat penulis. Alfatihah buat mereka berdua.

• Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial.


Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan