27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Hormati keputusan badan perundangan negeri

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – PAS menyeru agar semua pihak menghormati dan tidak cuba mengambil sudut pendekatan yang tidak wajar dengan mencabar aspek-aspek perundangan sedia ada yang dibuat oleh badan perundangan negeri.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu adalah demi kebaikan kehidupan sosial, keharmonian agama dan budaya serta perpaduan negara.

“PAS bimbang sesuatu keputusan yang terpaksa dibuat oleh badan kehakiman atas desakan yang tidak wajar akan membawa kepada implikasi yang tidak bermanfaat kepada negara dan rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 25 Februari lalu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyuarakan kebimbangan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, keputusan kes Iki Putra bin Mubarak lwn. Kerajaan Negeri Selangor itu memberi implikasi yang cukup besar terhadap perundangan syariah di negara ini.

Advertisements

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) memberitahu, menyedari bahawa Malaysia sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, PAS akan turut berusaha agar undang-undang sivil yang berteraskan undang-undang lazim (common law) dalam negara ini dapat diharmonikan dengan undang-undang syariah.

Beliau menambah, PAS yakin berteraskan pengiktirafan undang-undang syariah termasuk oleh mahkamah British di negara ini pada zaman pra-Merdeka, prinsip undang-undang tersebut mampu mewujudkan suatu wajah baru dan dinamik kepada sistem perundangan negara.

“Ini dapat dilihat dalam keputusan kes Ramah binti Ta’at vs. Laton binti Malim Sutan yang diputuskan pada tahun 1927 yang mengatakan ‘the Mohammedan law is not a foreign but local law, that it is the law of the land’.

“Begitu juga dalam kes Fatimah binti Harrris vs. Ismail Haji Tahir yang diputuskan dalam tahun 1939, mahkamah British pada masa itu mengatakan ‘that Mohammedan law is a part of the law of Johore’.” jelasnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan