36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kritik keputusan mahkamah, Steven dan Charles disiasat

Mesti Baca

CYBERJAYA – Gara-gara mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang mendapati Malaysiakini bersalah menghina mahkamah, Ketua Pengarang portal berkenaan, Steven Gan kini disiasat oleh polis.

Memetik laporan Malaysiakini, kertas siasatan turut dibuka ke atas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998.

Seperti yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, terdapat dua laporan berasingan dibuat oleh individu yang sama, semalam.

Individu terbabit mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Gurun, Kedah.

“Pengadu membuat dua laporan berasingan, satu terhadap Steven, satu terhadap YB Charles.

“Kami belum menghubungi mereka, tetapi kami akan segera menghubungi mereka untuk memudahkan siasatan,” katanya kepada Malaysiakini.

Mkini Dotcom Sdn Bhd yang mengendalikan portal Malaysiakini diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk membayar denda sebanyak RM500,000 selepas didapati bersalah menghina mahkamah menerusi komen pembaca yang disiarkannya.

Memetik laporan Bernama, syarikat tersebut diarahkan membayar denda berkenaan dalam masa tiga hari mulai hari ini.

Keputusan tersebut dicapai melalui majoriti 6-1 yang disampaikan oleh panel tujuh hakim yang bersidang dengan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf.

Selain Rohana, keputusan majoriti dibuat oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; serta hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli, manakala Datuk Nallini Pathmanathan menentang.

Rohana berkata, mahkamah mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan komen pembaca terhadap Mkini Dotcom telah dibuktikan.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan syarikat berkenaan bersalah menghina mahkamah.

Jabatan Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Steven berkaitan lima komen pembaca mengenai sebuah artikel diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun tahun lalu bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Pada 17 Jun tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan.

Pada 2 Julai tahun lalu, Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, dan Steven gagal membatalkan kebenaran diperoleh Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka.

Walau bagaimanapun, mahkamah tidak berpuas hati kes telah dibuktikan melangkaui keraguan yang munasabah terhadap Steven.

Steven dan Charles merupakan antara individu yang banyak meluahkan kritikan terhadap keputusan mahkamah itu.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan