28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Bersalah hina mahkamah, Malaysiakini kena denda RM0.5 juta

Mesti Baca

CYBERJAYA – Mkini Dotcom Sdn Bhd yang mengendalikan portal Malaysiakini diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk membayar denda sebanyak RM500,000 selepas didapati bersalah menghina mahkamah menerusi komen pembaca yang disiarkannya.

Memetik laporan Bernama, syarikat tersebut diarahkan membayar denda berkenaan dalam masa tiga hari mulai Isnin ini (22 Februari).

Keputusan tersebut dicapai melalui majoriti 6-1 yang disampaikan oleh panel tujuh hakim yang bersidang dengan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf.

Selain Rohana, keputusan majoriti dibuat oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; serta hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli, manakala Datuk Nallini Pathmanathan menentang.

Rohana berkata, mahkamah mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan komen pembaca terhadap Mkini Dotcom telah dibuktikan.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan syarikat berkenaan bersalah menghina mahkamah.

Jabatan Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan berkaitan lima komen pembaca mengenai sebuah artikel diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun tahun lalu bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Pada 17 Jun tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan.

Pada 2 Julai tahun lalu, Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, dan Gan gagal membatalkan kebenaran diperoleh Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka.

Walau bagaimanapun, mahkamah tidak berpuas hati kes telah dibuktikan melangkaui keraguan yang munasabah terhadap Steven.

Justeru, mahkamah berpendapat Steven tidak bersalah atas dakwaan menghina mahkamah.

Sementara itu, Malaysiakini sekali lagi merayu ihsan orang ramai untuk membantu portal tersebut membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Memetik laporan portal tersebut, Steven berkata, pembaca Malaysiakini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk anggota sistem kehakiman, yang berkongsi matlamat organisasi berita itu untuk memastikan mereka yang memegang kuasa melaksanakan tugas mereka dengan bertanggungjawab.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan