25 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 1, 2022

Sebutan semula kes rasuah Guan Eng, isteri 28 Mei

Mesti Baca

BUTTERWORTH – Tarikh sebutan semula kes salah guna kuasa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ditetapkan pada 28 Mei ini oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Memetik laporan BH Online, tarikh sebutan semula itu ditetapkan oleh Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid selepas pihak pembelaan menyatakan mereka memerlukan masa selama tiga bulan bagi meneliti lebih 100 dokumen bercetak yang diterima daripada pihak pendakwaan pada Selasa lalu.

Beliau turut menetapkan tarikh sama terhadap sebutan semula kes isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, yang dituduh melakukan pengubahan wang haram dan ahli perniagaan, Phang Li Koon yang didakwa bersubahat dengan Guan Eng.

Dalam prosiding pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Shafiq Hasim dan Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan pihaknya telah menyerahkan lebih 100 dokumen bercetak mengandungi lebih 1,000 muka surat kepada kedua-dua pihak pembelaan pada Selasa lalu.

Pihak pembelaan yang diwakili RSN Rayer dan A Ruben Kumar kemudian memohon masa selama tiga bulan bagi meneliti semua dokumen itu termasuk menasihati tertuduh.

Mahkamah kemudian bersetuju dan pihak pendakwaan juga tidak membantah dengan permintaan berkenaan kerana turut mengambil kira situasi pandemik COVID-19.

Baca juga:   13 pegawai SPRM dibuang kerja antara 2016 hingga kini

Dalam pada itu, pihak pembelaan juga menyatakan akan memfailkan permohonan interlokutori dalam tempoh terdekat.

Pihak pendakwaan menambah, apabila semua dokumen sudah selesai diteliti pihaknya dan tidak ada perkara berbangkit lain, pihaknya akan memohon tarikh perbicaraan kes itu.

Baca juga:   Hakim tarik diri dengar rayuan saman Azeez terhadap Guan Eng

Ketika prosiding, Guan Eng, isterinya dan Li Koon tidak hadir kerana mendapat pengecualian mahkamah.

Pada 11 Ogos tahun lalu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan RM372,000 bagi membolehkan sebuah syarikat ditawarkan projek.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng, 60 yang juga ketika itu Pengerusi Lembaga Tawaran Penang Development Corporation (PDC), menggunakan kedudukannya untuk suapan wang bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Ia bagi memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang mana isterinya secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Setiausaha Agung DAP itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara Ogos 2013 hingga 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Li Koon pula didakwa bersubahat dengan Guan Eng melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama, manakala Betty didakwa atas tiga pertuduhan melakukan penggubahan wang haram RM372,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Baca juga:   KPLB komited pastikan rakyat luar bandar hidup sejahtera
Baca juga:   6 termasuk Jurutera Daerah, Penolong Jurutera ditahan SPRM

Semua kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terkini

MKT UMNO putuskan PRU-15 mesti diadakan tahun ini

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini memutuskan agar pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan...

Lagi Artikel Berkaitan