25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Lelaki dakwa minum darah 4 orang Aceh diberkas polis

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Baru-baru ini tular dalam media sosial rakaman video seorang lelaki yang mengaku dia telah membunuh empat lelaki Indonesia berketurunan Aceh dan meminum darah mereka.

Dalam masa sehari kemudian, tular pula rakaman video yang menunjukkan lelaki yang sama dibelasah oleh beberapa individu lain.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, polis telah menerima rakaman video yang pertama melalui aplikasi WhatsApp pada 15 Februari lalu, kira-kira jam 3.30 petang.

“Salah satu kandungan klip video tersebut memaparkan seorang lelaki Indonesia mengaku telah membunuh empat orang lelaki Indonesia berbangsa Aceh dan telah minum darah mangsa yang dibunuh tersebut.

“Suspek juga mengaku seorang samseng atau abang long di kawasan Pandamaran, Klang dan akan pancung dan meminum darah sesiapa yang berani menentangnya,” katanya seperti dipetik daripada siaran PDRM RMP TV.

Aceh
SHAMSUL AMAR RAMLI

Beliau menambah, keesokannya pada 16 Februari terdapat dua lagi klip video tular melibatkan seorang lelaki Indonesia telah dipukul tiga hingga empat lelaki yang senegara dengannnya.

Shamsul Amar memberitahu, insiden itu dipercayai berlaku akibat marah atau tercabar atas kenyataan yang telah dibuat oleh lelaki Indonesia terbabit.

Menurut beliau, laporan polis dibuat oleh orang awam yang melihat kejadian pergaduhan atau rusuhan yang telah berlaku di kawasan Pandamaran.

“Sehubungan itu, polis Klang Selatan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menjalankan gerakan bagi mengesan dan menangkap suspek-suspek yang terlibat,” jelasnya.

Aceh
Suspek telah ditahan reman oleh polis. Gambar: Tangkap layar video siaran PDRM RMP TV

Shamsul Amar berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki warga Indonesia berumur 30 tahun telah dibuat pada 16 Februari kira-kira pukul 10 malam di kawasan Klang.

Beliau menjelaskan, suspek tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan disyaki terlibat dalan kejadian rusuhan atau pergaduhan di Pandamaran.

“Tangkapan seterusnya dibuat pada 17 Februari kira-kira pukul 5.30 petang di sebuah rumah di Tanjung Sepat, Selangor iaitu seorang lelaki Indonesia berusia 31 tahun dan merupakan suspek yang mengaku telah membunuh dan meminum darah empat orang Aceh,” ujarnya.

Suspek yang kedua juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan mereka telah direman di mahkamah Klang semalam.

Polis giat memburu suspek-suspek lain yang terlibat dalam kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dan dengan jalan mendatangkan kebangkitan marah kepada seseorang yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan