26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Mahathir sekadar mencari ‘perumah’ baharu – Zahid

Mesti Baca

CYBERJAYA – Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali ke pangkuan UMNO hanyalah sekadar mencari ‘perumah’ baharu selepas bekas Perdana Menteri itu semakin tidak dipedulikan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedudukan Mahathir dalam politik sebetulnya sudah hampir tidak ada harapan lagi setelah Ahli Parlimen Langkawi itu dipecat daripada Bersatu.

Manakala Pakatan Harapan (PH) juga sudah tidak mempedulikannya dan sedang berusaha untuk menaikkan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin tertinggi pakatan itu.

Sementara hasrat Mahathir untuk mendaftar parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga tidak kesampaian apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak meluluskannya.

“Presiden PPBM (Bersatu) telah memecatnya. PH tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan PN tidak luluskan pendaftaran parti baharunya.

“Makanya perlu cari ‘perumah’ lain atau setidak-tidaknya kembali kepada ‘perumah lama’ untuk terus mendapatkan manfaat ‘nutrisi’.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahathir dalam satu program‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar anjuran Sinar Harian kelmarin mengaku boleh kembali ke pangkuan UMNO.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Namun beliau meletakkan syarat agar parti yang ditinggalkannya itu sebelum ini kembali berpegang kepada dasar awalnya iaitu perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

“Saya boleh kembali kepada UMNO tapi orang yang ‘penyangak-penyangak’ semua minta maaflah, saya tak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sebenarnya rakyat tahu tujuan sebenar Mahathir berkata demikian dan meletakkan syarat tersebut hanya sekadar alasan.

Katanya, UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya dan Mahathir hanya memberi dalih untuk menjustifikasikan kehendak kembali kepada parti keramat ini.

“Atau juga ia strategi sama beliau pada PRU-14 untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli UMNO bagi menumbangkan kerajaan BN (Barisan Nasional).

“Sejarah 2018 membuktikan siapa yang sebenarnya tidak lagi berpegang kepada dasar bangsa, negara dan agama demi kepentingan politik kendiri,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Ahmad Zahid berkata, Mahathir pernah mengaku menyuruhnya membubarkan UMNO kerana parti itu dianggap sudah tiada tetapi kini mengaku konon masih sayang dengan UMNO.

“Bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang lain mendengar kata-kata Tun Mahathir ini? Semoga tiada gua berhampiran mereka.

“Saya fikir rakyat khususnya ahli UMNO boleh menjangkakan punca sebenar mantan Pengerusi PH dan PPBM ini membuat pusingan U setajam itu.

“Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi PM Ke-7,” katanya.

Apa yang menjadi persoalan besar, kata Ahmad Zahid, siapa rombongan demi rombongan yang datang meminta beliau berbuat sesuatu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO ketika itu? – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan