29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pelbagaikan lokasi alternatif solat Jumaat, perkenal pendaftaran Online

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar solat Jumaat dapat diadakan di dewan, padang dan surau yang banyak tersedia di sesebuah kawasan bagi mengelak umat Islam kecewa tidak dibenarkan masuk ke masjid sebagaimana insiden berlaku di Kuala Terengganu, semalam.

Tangkap layar laporan kekecohan di Kuala Terengganu, semalam.

Presiden UMNO itu berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri boleh memikirkan tambahan lokasi bersesuaian dan menghantar khatib dan imam untuk melaksanakan solat Jumaat dengan memastikan SOP yang ketat sebelum, semasa dan selepas solat serta had jumlah Jemaah yang sama. 

Menurutnya, jika cadangan itu diambil serius pihak berkuasa, akan lebih banyak lokasi alternatif buat penduduk dan golongan pekerja untuk menyertai solat Jumaat di kawasan masing-masing.

Selain itu katanya, anggota RELA yang kini mencecah lebih 290,000 orang di seluruh Malaysia boleh diminta membantu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semakan pendaftaran masuk di setiap kawasan solat Jumaat. 

“Cuma yang saya tahu solat Jumaat tidak semestinya hanya boleh diadakan di masjid-masjid. 

“Antara syarat sah solat Jumaat iaitu tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.

“Sila perhalusi cadangan ini jika ada rasionalnya. Jika tidak rasional, harap pihak berkuasa memikirkan sesuatu supaya lebih ramai dapat menunaikan solat Jumaat,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, adalah baik diwujudkan juga sistem Online untuk orang ramai mendaftar tempat solat Jumaat lebih awal. 

“Bunyi agak pelik. Tetapi mungkin ini antara realiti dan norma baharu yang perlu kita lalui pada waktu-waktu sukar begini. 

“Ia sekali gus dapat mengelak kekecewaan dan insiden kecil hati tidak dibenarkan menyertai solat Jumaat kerana telah melebihi kapasiti,” jelasnya.

Menurutnya, beliau sedih selepas tahu apa yang berlaku di Kuala Terengganu semalam apabila seramai 70 jemaah kecewa tidak dibenarkan masuk kawasan masjid untuk menunaikan solat Jumaat lalu berlaku sedikit kekecohan. 

Urusan solat Jumaat ujar beliau antara dilema besar umat Islam Malaysia pada waktu pandemik Covid-19.

“Saya sangat memahami perasaan mereka di Kuala Terengganu itu. Betapa kita semua mahu menunaikan solat Jumaat. 

“Betapa kita rindu pada solat Jumaat andai beberapa kali terlepas peluang menunaikannya.Jika boleh tidak mahu ketinggalan mendirikannya walau sekali.

“Namun pihak berkuasa telah menetapkan SOP demikian. Ada had bilangan Jemaah. Kita akur demi kemaslahatan bersama,” katanya.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan