31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Desak Presiden letak jawatan budaya tidak sihat, bukan adab UMNO – Tok Mat

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Desakan beberapa pemimpin dan ahli UMNO supaya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan merupakan budaya tidak sihat dan hanya memberi peluang kepada parti lawan meretakkan UMNO dengan sebesar-besar keretakan dan perpecahan.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu juga bukan adab dan susila ahli UMNO sebagai orang Islam dan Melayu.

Menurutnya, pelbagai kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista dan kurang sopan digunakan dalam desakan tersebut. 

“Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Presiden, yang wajar di santuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya.

“Kita boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana UMNO itu nilainya demokratik, tetapi jangan lah sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan UMNO. 

“Pepatah Melayu berpesan, “Menurut Biar Berakal, Menentang Biar Beradab”,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad dalam pada itu menyeru untuk semua ahli UMNO kembali kepada kesatuan dalam UMNO dengan saling mendamaikan antara satu sama lain.

Beliau menegaskan, sedikit bibit perpecahan antara ahli, akan memberi peluang kepada lawan parti untuk meretakkan UMNO dengan sebesar-besar keretakan dan perpecahan.

“Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setiakawan dalam UMNO di adu dumba, sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain.

“Tiada siapa yang akan untung atas perpecahan UMNO dan tiada siapa juga yang akan menang. Sama lebur sama binasa,” katanya lagi.

Mohamad mesra disapa Tok Mat menegaskan, beliau khuatir di sebalik budaya mendesak Presiden parti meletak jawatan akhirnya, yang akan menjadi korban ialah UMNO dan bangsa Melayu.

“Justeru untuk kesekian kalinya saya titipkan hikmah Melayu yang berbunyi, …”antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang”…

“Saya menyeru kita semua bangunkan era baru untuk UMNO dengan kesatuan dan muafakat. “Serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk”, ujarnya.

Jelas Tok Mat, era itu di mana perbezaan ahli dan diuruskan dengan sopan, berhikmah dan melalui jalan yang disepakati. 

Era itu juga katanya di mana parti diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan Demokrasi sebagai keutamaan dalam semua yang utama. 

“Dan akhirnya, era dimana UMNO dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan.Insha Allah….,” tambahnya.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan