BARISAN Nasional (BN) bercadang untuk mengumumkan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning lebih awal, kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, langkah itu bagi membolehkan calon yang dipilih dapat menyesuaikan diri serta menyantuni seramai mungkin pengundi.
“Kita sedia maklum bahawa kali ini, calon terpilih akan diumumkan lebih awal, seminggu sebelum hari penamaan calon iaitu sekitar 5 atau 6 April supaya dapat menyesuaikan diri dan menyantuni seramai mungkin pengundi,” katanya seperti dilapor Bernama.
Ahli Parlimen Rembau itu ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan dan Bantuan di Dewan Komuniti, Taman Kelab Tuanku, Mambau di Seremban, hari ini.
Mengenai latar belakang calon, beliau berkata, sebanyak enam nama termasuk calon muda telah disenarai pendek untuk mewakili BN bagi mempertahankan kerusi tersebut.
Mohamad berkata, kesemua senarai calon tersebut mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing.
Bagainanapun beliau berkata, kepimpinan tertinggi parti sedang meneliti, menyelidik serta mengambil kira pandangan orang ramai mengenai enam nama itu sebelum memutuskan calon yang bakal dipilih.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru.

