25.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

PKPB selepas 4 Februari turun kes 2 angka, Najib mohon pencerahan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan memberi penjelasan bagaimana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama tiga bulan selepas 4 Februari ini mampu menurunkan kes harian Covid-19 daripada empat kepada dua angka.

Kata bekas perdana menteri itu, pelaksanaan PKPB hampir empat bulan sejak Oktober lalu di kebanyakan negeri hanya mengakibatkan jumlah kes baharu semakin naik sehingga mencecah empat angka tiap-tiap hari.

Menurutnya, PKPB terbukti gagal sebab kes baharu Covid semakin naik sepanjang tempoh hampir  empat bulan itu sehingga PKP dan darurat perlu dilaksanakan pada 12 Januari.

“Jika dulu kita laksanakan PKPB hampir 4 bulan tetapi jumlah kes baru semakin naik sepanjang tempoh itu sehingga cecah 4 angka tiap-tiap hari, bagaimana pula pelaksanaan semula PKPB selama 3 bulan akan mampu turunkan jumlah kes baru dari 4 angka ke 2 angka? Mohon pencerahan,” tulis Najib dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Menurut Najib, kerajaan sewajarnya melaksanakan PKP lebih ketat untuk seketika sahaja agar PKPB tidak perlu dilaksanakan berbulan-bulan lagi.

Bagaimanapun katanya, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak di mana sektor-sektor yang merupakan penyumbang kluster dan jumlah kes Covid terbesar dibenarkan untuk terus beroperasi.

“Kerajaan kata PKP ini tidak akan diperketatkan dan tidak akan dilanjutkan tetapi digantikan dengan PKPB semula yang telah terbukti gagal. 

“Lalu kerajaan harap perlaksanaan semula PKPB akan turunkan kes baru ke dua angka?,” tulis Najib lagi.

Najib dipercayai merujuk kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam bahawa PKP di seluruh negara, kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan.

Menurut Noor Hisham, keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaan PKP.

Sehubungan itu, katanya, PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini akan disambung dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“PKP pada asalnya dijadual untuk dilaksanakan dalam tempoh dua minggu (sejak 13 Januari lalu) dan kesan pendekatan ini memerlukan masa.

“Justeru, kita lanjutkan sehingga Februari, tetapi kita tak nak panjangkan PKP kerana beri kesan terhadap ekonomi. Kita kena seimbangkan kepentingan ekonomi dan kesihatan.

“Kalau kita laksanakan PKP selama empat minggu, sampai awal Februari, ia kemudian disusuli PKPB bagi tempoh tiga bulan akan datang.

“Menerusi pendekatan ini, dijangka pada Mei, kita akan dapat turunkan kes (kadar jangkitan harian) kembali ke dua angka,” katanya.

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan