27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Melayu muda lemah daftar mengundi kerana dirasuk syaitan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Orang Melayu terutamanya generasi muda paling lemah untuk mendaftar sebagai pengundi kerana berjaya dirasuk oleh ‘syaitan-syaitan’ warisan penjajah dahulu.

Presiden Pas,  Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, generasi muda Islam  yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan agama itu masih dihantui pengaruh bisikan syaitan itu.

“Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka. 

“Pemikiran Islam dalam diri mereka tidak bermaya, khususnya dalam kalangan bangsa yang beragama Islam,” katanya dalam tulisan Minda Pas, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, hari ini di Malaysia, umum dapat menyaksikan bahawa kaum Melayu paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi dalam keadaan bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik. 

Beliau menjelaskan, umat Islam mengalami musibah dengan kehilangan kuasa politik sepenuhnya pada awal abad yang lalu, setelah kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyah kerana kelemahan dalaman umat Islam sendiri mengakibatkan satu demi satu wilayah Islam dijajah dan merebaknya kejahilan agama.

Namun begitu, umat Islam tidak pernah menyerah kalah sehingga keseluruhannya mencapai kemerdekaan walaupun hanya pada namanya sahaja. 

Advertisements

Walau bagaimanapun, kesan serangan pemikiran penjajah masih bertapak dalam diri mereka, apabila wujud pemikiran paling beracun yang berusaha untuk menghapuskan kefahaman politik yang wajib ditegakkan. 

“Snouck Hurgronje, seorang tokoh orientalis yang berasal dari Belanda menegaskan bahawa tugas paling penting bagi menghadapi kebangkitan semula Islam ialah menghalang para ulama’ yang terus membawa ajaran menegakkan kembali Khilafah (politik).

“Langkah ini ternyata apabila para ulama’ yang paling awal menentang campur tangan penjajah dan mengajar ajaran politik Islam, disingkirkan secara keras dan halus.

“Malahan ada dalam kalangan mereka yang dibunuh, dipenjara dan dibuang keluar dari tanah airnya. Bahkan ada yang dihapuskan daripada catatan sejarah,” katanya.

Abdul Hadi berkata, seterusnya penjajah menyebarkan langkah ‘tasykik’ (meragukan dan menyebarkan rasa waswas) terhadap ajaran Islam, khususnya kefahaman politik dengan menyamakan politik Islam dengan yang lain.

“Mereka meletakkan Islam dalam satu bakul bersama jenama lain dan beranggapan bahawa politik itu semuanya kotor, menipu dan berpolitikus (seperti tikus) yang merosakkan.

“Tindakan itu penting bagi menyenangkan mereka untuk berpolitik tanpa tentangan daripada umat Islam,” tambahnya.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan