KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) Perlis semakin bergolak apabila Pas bertindak memecat keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka dipercayai ada kaitan dengan usaha menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketiga-tiga mereka “terhenti serta-merta keahliannya sebagai ahli Pas” berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
“Pas akan memaklumkan ketetapan ini secara rasmi kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis bagi tujuan memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang hari ini.
Sebelum ini, lapan ADUN Perlis dilapor telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Mohd Shukri.
Lapan ADUN terbabit terdiri daripada lima ADUN Bersatu dan tiga Pas membentuk majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang mempunyai 15 kerusi.
Difahamkan Bersatu telah menyerahkan tiga nama sebagai calon Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Mohd Shukri.
Mereka ialah ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah; Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Pas memenangi sembilan kerusi manakala Bersatu lima kerusi bagi membolehkan gabungan PN membentuk kerajaan negeri.
Satu lagi kerusi disapu oleh Pakatan Harapan, sekali gus menjadi wakil tunggal pembangkang dalam DUN Perlis.
Keputusan sama ada tiga kerusi terbabit akan kosong atau sebaliknya akan ditentukan oleh Speaker DUN, Rus’sele Eizan. — Edisi 9

