USAHA memperkasakan kesedaran kesihatan seksual dalam kalangan belia terus diperkukuh apabila Universiti Malaya (UM) menganjurkan Seminar Kesihatan Anak Muda IPTA–Universiti Malaya 2025 dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Majlis AIDS Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Seminar yang berlangsung di Auditorium Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UM itu menghimpunkan lebih 200 pelajar pelbagai fakulti dan dianjurkan khusus bagi memberikan pendedahan mengenai penjagaan kesihatan seksual secara terbuka dan tanpa stigma.
Pengarah Klinik Universiti Malaya, Dr. Zuraidah Mohamed berkata, peningkatan kesedaran terhadap kesihatan seksual mampu menyumbang secara signifikan dalam membendung penularan penyakit berjangkit seperti HIV, AIDS dan jangkitan kelamin lain.
“Intervensi awal dan pendidikan berasaskan fakta adalah langkah penting bagi memastikan pelajar celik tentang isu-isu kesihatan reproduktif serta berupaya membuat keputusan yang bijak berkaitan kesihatan diri,” katanya.
Seminar tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak seperti Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai, PT Foundation, Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia, Reszon Diagnostics, serta penyertaan aktif pelajar-pelajar PALAPES dan SUKSIS UM.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program termasuk sesi ceramah dan forum santai, booth interaktif, saringan kesihatan percuma (HIV, STI dan Hepatitis C), kuiz serta penglibatan Kelab Kesihatan Anak Muda IPT (KAMI).
Sementara itu, Timbalan Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia, Chung Han Yang menyeru masyarakat kampus agar bersama-sama menjadi agen perubahan dalam menangani isu kesihatan seksual di peringkat institusi.
“Kita mahu anak muda Malaysia hidup lebih selamat, sihat dan berdaya tahan. KAMI ada dan KAMI sedia berjuang bersama mereka,” katanya.
Majlis turut dirasmikan oleh Pendaftar Universiti Malaya, Abdul Aziz Abdul Raman yang menyifatkan seminar ini sebagai satu usaha berimpak tinggi dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3 – Kesihatan Baik dan Kesejahteraan).
“Inisiatif ini seiring dengan hala tuju UM untuk melahirkan graduan berpengetahuan luas, bukan sahaja dari aspek akademik malah juga dari sudut kesedaran kesihatan dan kesejahteraan kendiri,” jelas beliau. — Edisi 9

