25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Polis lepas 2 tembakan henti lori dipandu secara berbahaya

Mesti Baca

JOHOR BAHRU – Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan bagi memberhentikan sebuah lori yang dipandu secara berbahaya setelah cuba meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalam satu kejadian di sini, pagi semalam.

Pemandu lori berusia 31 tahun yang membawa muatan batu berlebihan itu kemudiannya berjaya ditahan selepas memandu secara berbahaya di kilometer 7, Lebuhraya EDL (RNR Pandan) kira-kira pukul 7.45 pagi.

Polis berjaya memberhentikan sebuah lori dipandu secara berbahaya di Johor Bahru, semalam. Foto FACEBOOK

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kejadian berlaku apabila anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor mengesan lori terbabit membawa muatan batu disyaki melebihi muatan.

Menurutnya, anggota trafik menggunakan pembesar suara dan menyalakan lampu biru serta membunyikan siren amaran dalam usaha  memberhentikan kenderaan tetapi arahan tersebut tidak dihiraukan.

“Pemandu terbabit sebaliknya terus memecut lorinya menghala ke lorong masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“Polis trafik terus mengejar lori itu yang dipandu secara berbahaya dan termasuk zig-zag serta menghimpit kenderaan pasukan polis dalam usaha melarikan diri,” kata Mohd Padzli, hari ini.

Advertisements

Mohd Padzli dalam satu kenyataan berkata, tindakan pemandu lori itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan pada tayar lori bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Katanya, sebaik sahaja pemandu itu memberhentikan kenderaannya selepas tayarnya pecah, pemandu berkenaan terus melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dalam jarak lebih kurang 100 meter dari lokasi kejadian.

“Suspek tiada rekod jenayah lampau tetapi mempunyai sembilan rekod saman kesalahan trafik. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Punca kejadian mendapati suspek tidak mahu ditangkap oleh pihak polis kerana membawa muatan melebihi had dan lesen kenderaan barangan GDL telah tamat tempoh,” katanya.

Mohd Padzli berkata, suspek direman bermula hari ini hingga 23 Disember.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 45 APJ 1987, Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Seksyen 307, Seksyen 186 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan