27.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Krisis MB Perak: Pas arah ADUN menghadap Sultan

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Pas mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perak supaya hadir menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan ringkas  berkata, mereka perlu hadir setelah menerima Titah Menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak.

“Pas sebagai sebuah parti yang sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja sentiasa memastikan selayaknya sebarang urusan yang berkaitan dengannya perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab.

“Adapun dalam hal kehadiran ke Istana Perak, disebabkan Pas tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ia bersabit dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan, maka Pas mengarahkan semua ADUN Pas untuk hadir ke Istana setelah menerima Titah Menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak.

“Pas akan berusaha dan berikhtiar bersama rakan parti Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan kemelut politik Perak secara berhemat dan terbaik demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya malam tadi.

Arahan terbaharu  itu menyusul selepas Pas sebelum ini mengarahkan tiga ADUN membatalkan rancangan menghadap Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh, petang semalam.

Advertisements

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, dilaporkan berkata, keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.

Tiga ADUN Pas Perak ialah Razman sendiri yang juga ADUN Gunong Semanggol; Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Sultan Nazrin semalam dilapor masih belum diyakinkan oleh mana-mana parti sudah memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu di Perak.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, berkata sehingga isu terbabit diselesaikan, barulah istiadat angkat sumpah Menteri Besar yang baharu dapat dilaksanakan.

“Sehingga Tuanku diperkenankan, yakin sudah ada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mudah barulah istiadat angkat sumpah boleh dilaksanakan.

“(Setakat ini) Sultan Perak belum dapat diyakinkan oleh mana-mana pihak. Kita akan tunggu sampai mereka bersedia dengan meyakinkan Duli Yang Maha Mulia dan baginda berpuas hati sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.

Advertisements

Terkini

Lelaki didenda RM80,000 guna kelengkapan komunikasi tidak sah

SEORANG usahawan didenda sebanyak RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, kerana menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui iaitu SMS...

Lagi Artikel Berkaitan