28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

‘Bijak sungguh’ parti Melayu berpolitik

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

Bila tiada kuasa, mereka bergabung untuk mendapat kuasa, bila sudah dapat kuasa mereka bergaduh pula sesama sendiri berebut kuasa.

Itulah ‘kebijaksanaan’ orang Melayu berpolitik. Satu ketika mereka bersedia duduk semeja untuk mengatur strategi menyelesaikan apa juga perbezaan bagi memastikan kerjasama yang termeterai tidak terburai, tetapi sekarang masing-masing menyusun strategi untuk melemahkan sesama sendiri.

Kalau suatu ketika dahulu sanggup mengenepikan permusuhan selama berpuluh-puluh tahun atas nama demi penyatuan ummah dan disusuli pula dengan gerakan membawa keluar parti daripada satu pakatan atas alasan tidak berpuas hati dengan sikap sekutu yang sehingga terlahirnya sebuah kerajaan Melayu, tetapi kuasa di tangan mula ‘memabukkan’, bak pepatah, ‘’ku sangka panas sampai petang rupanya hujang di tengahari’, kesepakatan mula digoncang dengan politiking sesama sendiri.

Perjanjian termeterai, menanti masa untuk terburai. Maka tertanya-tanyalah orang Melayu, apakah air mata mereka pada 14 September 2019 hanyalah sia-sia, apakah kegembiraan mereka melihat pemimpin Melayu berpakat di sebuah hotel akan berakhir?

Kalaulah PWTC boleh bercakap, kalaulah Sheraton boleh bersuara sudah tentu mereka akan bertanya di manakah laungan mahu memperkukuhkan kuasa politik Melayu? Di manakah janji mahu menyatukan ummah?

Ternyata laungan mahupun janji hanya wujud ketika mereka begitu bersemangat untuk meraih kuasa, bila sudah ada kuasa tercetus pula permusuhan sesama sendiri. Sepatutnya sebagai orang Islam apabila sudah terbentuk kerjasama dan kesepakatan, ia harus dipertahankan bukannya dimusnahkan kerana perasaan hasad dengki, dendam apatah lagi berebut kuasa sehingga melemahkan dan meruntuhkan apa yang sudah dinikmati bersama.

Terlupakah mereka kepada surah Al-Hasyr ayat 10 yang bermaksud:

‘’Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.

Tetapi orang Melayu ‘kebijaksanaan’ mereka berpolitik ‘cukup luar biasa’, mereka begitu ‘bijak’ untuk menjatuhkan satu sama lain sehingga membuka ruang kepada pihak musuh mengambil kesempatan.

Kuasa dimiliki bukannya untuk memperkukuhkan kesepakatan demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam tetapi bagaikan barang rebutan, siapa bijak dialah menang. Maka bertanyalah orang Melayu yang tidak berpolitik, apakah kerjasama sebelum ini benar-benar ikhlas terbentuk demi kesejahteraan umat atau demi kepentingan kuasa politik masing-masing?

Cuba bertanya, kalaulah situasi atau peluang di Perak itu ada di ‘pihak sebelah sana’, adakah mereka akan bertekak sehingga akhirnya ‘yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran?’’, adakah mereka sanggup bertindak biarpun akhirnya ‘menang sorak kampung tergadai’? Adakah mereka akan bersikap ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar?”

Sudah pasti tidak! Sebaliknya mereka bersedia melakukan apa sahaja asalkan kuasa di tangan tidak terlepas kepada orang lain. Malah dalam situasi parti Melayu dok bergaduh sesama sendiri, mereka bijak menghulur tangan untuk bekerjasama atas alasan demi kesejahteraan rakyat.

Tetapi nampaknya orang Melayu ‘jauh lebih bijak’ berpolitik seolah-olah tidak mengapa ‘yang dikendong berciciran dan yang dikejar tak dapat’ asalkan hati puas kerana dendam politik sudah terlunas sebab itulah untuk melantik seorang Menteri Besar pun, jenuh pelbagai ‘jenis silat dipertontonkan’. Dulu kalau dengar mereka bercakap soal penyatuan ummah, mengembalikan kekuatan politik Melayu ‘boleh naik roma’ rupa ia hanya retorik.

Malangnya huru-hara ini tercetus angkara segelintir ‘tok-tok dalang’ yang masing-masing ada agenda tersendiri. Tidak payahlah menuding jari antara satu sama lain, dalam semua parti ada ‘tok dalangnya’. Selagi ‘tok-tok dalang’ ini tidak disingkirkan selagi itulah huru-hara seperti mana di Perak akan berterusan.

Lebih parah terwujud pula kelompok yang ‘seronok melakukan kerja-kerja syaitan’ memecah belah ummah dengan catatan dan kenyataan mereka. Kenapa dipanggil ‘kerja syaitan’? Sebab hanya syaitan sahaja tidak suka orang melakukan perkara baik. Kelompok ini sepanjang masa ‘panas satu badan’ bila melihat orang Melayu bersatu, walaupun mereka pun Melayu. Ada sahaja isu dibangkitkan kerana mereka ‘tidak boleh tidur lena’ kalau lihat kerjasama antara parti Melayu aman, tenteram.

Kita tidak perlu membuang masa bertanya bilakah parti-parti Melayu akan insaf dan bijak berpolitik dalam erti kata sebenar. Mereka tidak akan insaf dan tidak mungkin akan insaf? Kerana apa? Kerana kuasa akan menjadi temboknya. Baiklah macam mana pun ketika tidak ada kuasa dan tidak ada kedudukan tetapi apabila kedua-duanya sudah dimiliki maka muncul lah wajah sebenar masing-masing.

Masa tidak ada kuasa, lentuk leher merayu supaya bersatu demi Melayu, tetapi bila dapat kuasa, leher kawan sendiripun ‘mahu disembelih’.

Kesimpulannya, penulis tidak menaruh harapan lagi bahawa parti-parti Melayu ini mampu bersatu, kalaupun krisis di Perak dapat diselesaikan, percayalah ia bukanlah jaminan tidak akan wujud lagi konflik selepas ini. Konflik akan berlaku, pertelingkahan akan terus terjadi kerana di dalam parti-parti itu ada ‘tok dalang’ dan ‘batu apinya’ . Inilah kebijaksanaan orang Melayu berpolitik..yang mungkin tidak ada kepada ‘orang lain’. – EDISI 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan