Monday, June 15, 2026

Kemelut Kerajaan PN Perlis: Shukri pula letak jawatan MB

Peletakan jawatan dibuat secara sukarela atas faktor kesihatan.

Mesti Baca

MENTERI Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan tatkala kemelut kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin berlarutan.

Mohd Shukri memaklumkan, peletakan jawatan itu dibuat secara sukarela atas faktor kesihatan.

Beliau berkata, hasrat tersebut telah dimaklumkan sembah kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini.

“Saya telahpun mempersembahkan surat meletakkan jawatan kepada Tuanku Sultan pada tengah hari tadi, jadi sehubungan dengan itu saya nak mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh keluarga pentadbiran kerajaan Perlis,” katanya.

Sebelum ini pentadbiran Mohd Shukri goncang apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mempersembahkan akuan bersumpah (SD) hilang kepercayaan kepada beliau kepada Tuanku.

Bersatu kemudian mengemukakan tiga nama ADUN mereka untuk dipertimbang sebagai Menteri Besar yang baharu.

Malam tadi, Pas mengambil tindakan memecat keahlian tiga ADUN yang dipercayai bersekongkol dengan lima ADUN Bersatu menjatuhkan Mohd Shukri.

Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Tindakan Pas itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) dan (d) Perlembagaan Pas yang mana ketiga-tiga ADUN terbabit “terhenti serta-merta keahlian sebagai ahli Pas.”

Susulan itu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan mengisytiharkan ketiga-tiga kerusi DUN terbabit mengalami kekosongan luar jangka dan berharap pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut. 

Untuk rekod, DUN Perlis mempunyai 15 kerusi dengan sembilan dimenangi oleh Pas manakala lima lagi milik Bersatu sementara satu kerusi oleh Pakatan Harapan (PH). — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan