AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis itu, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, kira-kira pukul 4 petang ini.
Hadir sama, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Polis Negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim.
Abu Bakar menggantikan ADUN Sanglamg, Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan sebagai Menteri Besar secara sukarela atas faktor kesihatan.
Sebelum ini pentadbiran Mohd Shukri goncang apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mempersembahkan akuan bersumpah (SD) hilang kepercayaan kepada beliau kepada Tuanku.
Bersatu kemudian mengemukakan tiga nama ADUN mereka untuk dipertimbang sebagai Menteri Besar yang baharu.
Ekroan itu, Pas mengambil tindakan memecat keahlian tiga ADUN yang dipercayai bersekongkol dengan lima ADUN Bersatu menjatuhkan Mohd Shukri.
Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Tindakan Pas itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) dan (d) Perlembagaan Pas yang mana ketiga-tiga ADUN terbabit “terhenti serta-merta keahlian sebagai ahli Pas.”
Susulan itu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan mengisytiharkan ketiga-tiga kerusi DUN terbabit mengalami kekosongan luar jangka dan berharap pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi mengisi kekosongan tersebut.
Untuk rekod, DUN Perlis mempunyai 15 kerusi dengan sembilan dimenangi oleh Pas manakala lima lagi milik Bersatu sementara satu kerusi oleh Pakatan Harapan (PH). — Edisi 9

