KUALA LUMPUR – Penduduk Lembah Klang nyaris berdepan gangguan semula bekalan air selepas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan syarikat Air Selangor mengesan pencemaran bau sebanyak empat ton di Sungai Kundang.
LUAS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dan Air Selangor mengesan bau di udara berhampiran kawasan Perumahan Saujana, Rawang kira-kira pukul 12.00 pagi ini semasa pemantauan Ops Sumber Air.

LUAS dan Air Selangor kemudiannya membuat pensampelan bau air Sungai Kundang berhampiran taman tersebut dan mengesan bau sebanyak 4 ton.
“LUAS bersama Air Selangor telah membuat siasatan di kawasan Taman Velox dan mendapati kawasan takungan bersebelahan longkang berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK) IWK telah melimpah, disyaki bocor berkemungkinan disebabkan hujan lebat di sekitar kawasan berhampiran.
“Kami mengambil tindakan pantas dengan meletakkan 14 beg Activated Carbon (AC) di aliran keluar dan di dalam takungan kawasan yang disyaki di kawasan longkang berhampiran LRK IWK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata kenyataan itu, pihak IWK sedang melaksanakan tindakan pembersihan dan kawalan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, tiada henti tugas Loji Rawatan Airbdan gangguan bekalan air dilaporkan.
Tambahnya, sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.