27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Nelayan warga tempatan dipercayai lemas terjatuh dari bot

Mesti Baca


KUANTAN – Seorang nelayan warga tempatan dipercayai lemas selepas dilaporkan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di perairan kira-kira 24 batu nautika Timur Kuantan, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Aminullah Azmi, 29, terjatuh ketika cuaca buruk.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, mangsa seorang warga tempatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot.

Katanya, sejurus menerima aduan melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, operasi CARILAMAT diaktifkan pada pukul 10.50 pagi semalam. 

Bot yang dinaiki mangsa. – Foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

“Bot Maritim Malaysia, KILAT 50 yang sedang beroperasi telah diarahkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amran berkata, ini adalah kejadian kedua nelayan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan dalam tempoh tiga hari selepas kejadian pertama nelayan terjatuh dari bot dan hilang di perairan Endau.

“Kedua-dua kes ini hampir sama kerana mereka tidak menitikberatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada di laut dan mangsa tidak memakai jaket keselamatan. 

“Keadaan laut dan cuaca buruk juga menyukarkan operasi carilamat ini,” katanya.

Amran memberitahu, pencarian mangsa telah disambung pada awal pagi ini oleh KM PEKAN yang sedang beroperasi dalam operasi CARILAMAT di perairan Endau.

Ujarnya, pencarian kes mangsa hilang di perairan Endau yang masuk hari ke-3 disambung oleh KM TATAU dan dibantu oleh bot KILAT 14 dari Zon Maritim Mersing bersama bot PSC 31 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan.

“Sehingga kini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan pencarian masih diteruskan dengan jumlah keluasan pencarian bagi kedua-dua kes ini lebih kurang 960 batu nautika persegi,’ katanya.
Sementara itu, Amran berkata, operasi CARILAMAT turut dibantu 2 buah pesawat udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah pesawat udara BOMBA dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta dibantu tujuh bot nelayan tempatan.

Katanya, beliau menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa menitikberatkan ciri-ciri keselamatan dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa di laut serta peka dengan perubahan semasa cuaca setiap kali turun ke laut bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Mereka juga diingatkan supaya menyalurkan maklumat serta merta sekiranya berlaku sebarang kemalangan di laut kerana Maritim Malaysia merupakan peneraju operasi CARILAMAT di Zon Maritin Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, segala aduan dan kecemasan dilaut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 dan MRSC KUANTAN di talian 09-5717368.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan