KUCHING – Biarpun menyedari hayatnya sudah dihujung tanduk setelah digigit seekor buaya, namun seorang lelaki warga Indonesia masih panjang akal apabila mencucuk mata reptilia ganas itu menggunakan jarinya sekali gus berjaya melepaskan dirinya daripada cengkaman ‘sang bedal’ tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi di Ladang Kris Jati Trusan, dekat Lawas itu, Sulu Maralang, 46, bernasib baik apabila tindakan nekadnya membuatkan buaya berkenaan melepaskan gigitannya.
Tindakan nekad seorang lelaki warga Indonesia mencucuk mata buaya menggunakan jarinya berjaya menyelamatkannya daripada dibaham reptilia ganas itu di Ladang Kris Jati Trusan, dekat sini pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Roslan Leman berkata, ketika kejadian, mangsa sedang leka mengait buah kelapa sawit di tepi parit ladang terbabit.
Namun katanya, secara tiba-tiba seekor buaya menyerang pekerja ladang itu dan membaham bahagian paha kiri manga.
“Semasa sedang bergelut dengan buaya itu, mangsa berjaya melepaskan diri dengan mencucuk mata buaya menggunakan jarinya sebelum dia naik ke daratan.
“Mangsa kemudianya meminta pertolongan daripada rakannya yang kemudian memaklumkan insiden cemas itu kepada penolong pengurus ladang,” katanya yang dipetik Utusan Borneo, hari ini.
Roslan berkata, penolong pengurus ladang turut mendapatkan bantuan daripada pembantu perubatan yang bertugas di ladang tersebut untuk bantuan kecemasan.
Menurutnya, akibat gigitan buaya itu, paha kiri mangsa terkoyak.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Lawas menggunakan kenderaan syarikat untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Roslan menambah, lokasi kejadian terletak 300 meter dari Sungai Trusan yang mana pekerja ladang kerap menyaksikan kehadiran reptilia ganas itu terutama ketika air pasang.