SYARIKAT nanas tempatan, Ananas Premium menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan dua syarikat berpengkalan di Indonesia bagi pengeksportan jus nanas dan nanas premium MD2 ke pasaran tempatan dan serantau.
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berkata, MoU itu bernilai USD1.5 juta (RM6.3 juta) dimeterai sempena Salon International de I’Alimentation (Sial-Interfood) Indonesia 2024 yang berlangsung di Jakarta, Khamis hari lalu.
“MoU tersebut dimeterai bersama dua syarikat berpangkalan di Indonesia untuk pengeksportan jus nanas dan nanas premium jenis MD2 ke pasaran tempatan dan serantau,”kata kenyataan itu hari ini.
LPNM berkata, majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M. Salleh.
Penyertaan di Sial-Interfood Indonesia 2024 bukan sahaja menonjolkan kualiti produk nanas Malaysia, tetapi turut memperkenalkan teknologi terkini dan inovasi dalam pemprosesan nanas kepadapengunjung antarabangsa.
“Kejayaan ini adalah kesinambungan momentum daripada kejayaan
sebelumnya di Sial Perancis, sekaligus menonjolkan nanas Malaysia di persada dunia.
“Kejayaan ini membuka lembaran baharu buat industri nanas Malaysia, khususnya dalam meningkatkan eksport produk-produk berasaskan nanas. Ia juga menjadi bukti kepada hubungan perdagangan yang semakin kukuh antara Malaysia dan Indonesia,” kata Sheikh Umar Bagharib.
Malaysia kekal komited dalam memperluas pasaran nanas premium seperti MD2 serta pelbagai produk hiliran nanas ke peringkat antarabangsa.
Kejayaan ini sejajar dengan slogan “Nanas Power! Sekali Tanam, 3 Kali Tuai” yang mencerminkan keberkesanan teknologi dan produktiviti sektor pertanian
Malaysia. – Edisi 9