25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

21 produk makanan termasuk ‘kopi kuat’ ada racun berjadual – KKM

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesan sebanyak 21 produk makanan daripada 16 jenama yang disyaki mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk makanan itu disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone.

Beliau berkata, antara produk makanan yang dikesan mencampurkan racun berjadual adalah, minuman kesihatan Tonik Tuan Haji 1921, California Pure, Orange+, Kopi Panggung Al Ambiak, Kopi Jantan Tradisonal jenama Natural Herbs Coffee dan Kopi Jantan Tradisional 7A.


“Jenama lain ialah kopi pracampuran WM Coffee, Kopi Harimau, Kopi Mutiara, Jus Kesihatan Saidina, Miracle Energy Coffee dan Kopi Strong Man.

“Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini disarankan supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

“Mereka diingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Advertisements

Dr Noor Hisham memberitahu, KKM sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap empat daripada 16 pengeluar atau pengedar jenama produk makanan yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan yang dijalankan ke atas 12 jenama produk makanan yang lain mendapati nama dan alamat syarikat adalah palsu atau tidak lengkap.

“Mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983, individu yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

“Individu berkenaan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua- duanya,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM memberi amaran dan melarang penjualan semua produk makanan yang disenaraikan itu.

Beliau menambah, semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk berkenaan diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk ini dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan