28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Maritim Pahang usir 2 kapal tangki, 1 bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

Mesti Baca

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang mengusir dua kapal tangki dan sebuah bot nelayan Vietnam yang didapati menceroboh perairan negara, kelmarin.

Bot nelayan Vietnam dengan nombor pendaftaran KG 858 TS  dan kapal tangki yang sedang merapat dalam keadaan mencurigakan itu dikesan di dua  posisi berbeza iaitu lebih kurang 43 dan 90 batu nautika timur dari Kuantan.

Penceroboh dikesan di dua posisi berbeza iaitu lebih kurang 43 dan 90 batu nautika timur dari Kuantan. Foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, kesemua penceroboh itu dikesan oleh pesawat udara Bombardier CL415 Maritim Malaysia ketika melaksanakan rutin pengawasan udara di perairan Pahang.

“Maklumat pencerobohan itu kemudian disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) PEKAN yang sedang melaksanakan OP KUDA LAUT berhampiran lokasi kejadian pencerobohan bot dan kapal-kapal terbabit.

“Sebaik menyedari kehadiran pesawat udara dan kapal Maritim Malaysia, bot nelayan berkenaan menukar haluan menuju ke perairan antarabangsa dan KM PEKAN terus membayangi dan mengusir bot nelayan Vietnam itu sehingga keluar dari sempadan perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Amran berkata, setelah bot nelayan asing itu diusir, KM PEKAN bergegas pula ke lokasi dua kapal tangki dan menghubungi melalui radio berfrekuensi tinggi (VHF) Channel 16 tetapi kapal tangki terlibat tidak memberi respon.  

“Oleh itu, KM Pekan telah menyalakan lampu amaran dan susulan itu, kedua-dua kapal tangki berkenan bergerak perlahan-lahan keluar dari perairan negara sambil diawasi oleh KM PEKAN,” jelas beliau. 

Advertisements

Menurut Amran lagi, KM Pekan kini berada di kawasan sempadan perairan negara untuk memastikan bot-bot dan kapal-kapal asing terbabit tidak memasuki semula perairan negara.

“Keberadaan KM Pekan di kawasan tersebut juga bertujuan untuk memantau dan melakukan pengusiran terhadap bot dan kapal asing yang dikesan menceroboh,” katanya.

Sementara itu, Amran berkata, dalam masa dua minggu sebanyak 9 pengusiran telah dibuat oleh aset Maritim Negeri Pahang dan dibantu aset dari Maritim Negeri Johor di perairan Pahang.

Ujarnya, ini menjadikan Maritim Negeri Pahang telah mencatatkan 41 pengusiran dan dari jumlah itu 39 daripadanya adalah dari bot nelayan Vietnam melibatkan seramai 337 kru termasuk tekong sepanjang tahun ini.

“Pengusiran terhadap nelayan asing dan kapal tangki itu adalah tindakan sementara dalam tempoh pencegahan penularan Covid-19 serta mengekang pewujudan kluster baharu Covid-19 terutamanya di lokap-lokap penahanan suspek yang boleh memberi risiko jangkitan kepada pasukan barisan hadapan dan juga rakyat tempatan,” tambah beliau lagi.

Amran menegaskan, Maritim Negeri Pahang akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara tetap terpelihara.

Beliau menambah, sebarang aduan dan kecemasan dilaut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 dan MRSC KUANTAN di talian 09-5717368.

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan