32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Malaysia sambut baik keputusan Riyadh benar umrah 10 hari

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik keputusan Arab Saudi membenarkan jemaah asing menunaikan umrah selama 10 hari dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam satu kenyataan bersama, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Malaysia menerusi dua kementerian ini akan bekerjasama rapat dalam usaha memastikan umat Islam di negara ini dapat mengerjakan umrah di Tanah Suci.

Menurut kenyataan itu, kerajaan akan terus memantau situasi Covid-19, khususnya di Malaysia dan pada masa yang sama meneliti dari semasa ke semasa SOP ibadah umrah yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia, khususnya jemaah umrah yang bakal ke Tanah Suci kelak.

“Bagi kerajaan, keselamatan dan kesihatan jemaah umrah Malaysia merupakan keutamaan tertinggi,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kata kenyataan bersama itu, Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu.

“Marilah kita sama-sama doakan semoga segala usaha demi memastikan umat Islam di Malaysia dapat kembali ke Tanah Suci dipermudahkan Allah,” tambah kenyataan itu.

Bermula 4 Oktober lalu, Arab Saudi mula membenarkan maksimum 6,000 warganegaranya dan pemastautin memasuki Masjidilharam di Mekah setiap hari. Setiap penziarah diberi tiga jam untuk menunaikan umrah.

Kebenaran fasa ke-2 Masjidilharam berkuat kuasa 18 Oktober dengan maksimum 15,000 jemaah dan 40,000 orang yang terdiri daripada pemastautin dan warganegara Saudi dibenarkan bersolat berdasarkan masa tempahan melalui aplikasi atas talian.

Jemaah dari luar Arab Saudi dibenar menunaikan umrah mulai 1 November berikutan kapasiti umrah ditingkatkan kepada 20,000 orang setiap hari.

Arab Saudi menangguhkan umrah sejak Mac lalu untuk membendung penularan Covid-19.

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan