32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

‘Mael Totey The Movie’ percubaan berani Syahmi Sazli

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

SEMALAM penulis berkesempatan menonton filem Mael Totey The Movie (MTTM) arahan Syahmi Sazli yang sebelum ini terkenal menghasilkan kandungan dalam YouTube.

MTTM mengisahkan seorang pemuda, Mael Totey (lakonan Syahmi Sazli sendiri) yang ditinggalkan kekasih kerana tidak tahan dengan sikap lurus bendulnya.

Tidak lama selepas itu Mael tertarik dengan seorang gadis bernama Yaya (Aween Ismail) yang sering datang ke kedai makan tempat dia bekerja.

Mael cuba memikat Yaya tetapi gadis itu menetapkan satu syarat iaitu dia mesti pandai bercakap Inggeris jika mahu memilikinya.

Mael kemudian bertemu dengan Teacher Siti (Emaleen Minhad) yang mengajar tuisyen Bahasa Inggeris untuk semua golongan termasuk orang kurang upaya (OKU).

Dengan bantuan Teacher Siti, Mael bersungguh-sungguh belajar bahasa Inggeris sehingga dia mampu mengajar pula dua rakan sekampungnya, Yoe dan Asif.

Dalam diam Teacher Siti menaruh hati kepada Mael manakala Yaya pula menolak cinta Mael walaupun dia sudah memenuhi syarat yang ditetapkannya sebelum ini.

Secara keseluruhan MTTM yang dialognya menggunakan loghat Kelantan dan diselang-selikan dengan bahasa Inggeris merupakan sebuah filem yang ringan.

Sejam pertama filem ini agak perlahan sehinggalah separuh perjalanan baharu dimunculkan konflik apabila Yaya cuba merampas kembali Mael yang sudah berkahwin dengan Teacher Siti.

Advertisements
Mengangkat influencer seperti Emaleen Minhad sebagai pelakon juga boleh dianggap berani oleh pengarah muda ini.

Kemunculan Yoe dan Asif sedikit sebanyak menceriakan MTTM walaupun hanya mengitar semula skrip lawak yang pernah dimuatkan dalam Drama Spontan mereka sebelum ini.

Dialog-dialog tanpa skrip Yoe, Asif, Bedul dan Yatin sekurang-kurangnya mengubat kebosanan penonton yang mengikuti filem tersebut sementelah mereka sudah ada ‘peminat dan pengikut’ tersendiri dalam media sosial.

Pujian harus diberikan kepada Emaleen dan Aween (finalist Dewi Remaja 2018/2019) yang berjaya menghayati watak masing-masing dan penulis percaya bakat mereka ini boleh diketengahkan dan tidak mustahil akan menjadi nama besar dalam dunia lakonan jika dipupuk dengan baik.

Pun begitu, penulis tidak lupa untuk mengucapkan syabas kepada Syahmi kerana berani mengembangkan usahanya daripada seorang ‘youtuber‘ kepada pengarahan filem.

Menolak ke tepi kelemahan sana-sini filem tersebut, sesuai sebagai sentuhan pertama Syahmi, namun jika diberikan skrip yang lebih kemas dan bahan yang lebih baik, tidak mustahil pengarah muda ini dapat pergi lebih jauh.

Malahan tayangan filem ini juga ‘kena pada masanya’ ketika sebahagian besar penonton ‘berada di rumah’ ekoran wabak COVID-19 yang melanda di samping cemuh dengan isu-isu politik negara yang tidak berkesudahan.

Tidak hairan MTTM berjaya mengutip sehingga RM4 juta selepas lapan hari tayangan di Astro First.

Secara keseluruhannya MTTM bolehlah ditonton sebagai escapisme daripada permasalahan masyarakat yang melanda masa kini, baik yang membelenggu diri mahupun orang di sekeliling.

Namun jika anda mencari filem-filem yang memecahkan otak pemikiran untuk berfikir atau lebih menghargai nilai RM15 untuk melanggan, MTTM bukanlah bahannya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sistem eDKK dinaik taraf menjadi sistem bersepadu ANAK – Nancy

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses menaik taraf Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK)...

Lagi Artikel Berkaitan