29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

KPDNHEP serbu rumah jual pakaian ‘tiruan’ pelbagai jenama

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pakaian pelbagai jenama dipercayai tiruan yang dijual secara dalam talian bernilai RM67,750 dalam satu serbuan di Balakong, semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi di Taman Cheras Jaya itu melibatkan seramai tujuh pegawai penguatkuasa KPDNHEP ibu pejabat Putrajaya dan disertai wakil pemilik cap dagang.

Menurutnya, operasi dibuat hasil daripada aduan daripada wakil pemilik cap dagang berkaitan penjualan pakaian berjenama tiruan melalui transaksi dalam talian di tapak pasar dalam talian.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan bersama wakil pemilik cap dagang, terdapat pelbagai jenis baju dan seluar jenama Adidas, Puma dan Nike disimpan di premis tersebut yang disyaki tiruan.

“Kesemua barang-barang tersebut telah dirampas dan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis telah diambil keterangan.

Pakaian pelbagai jenama dipercayai tiruan dirampas dalam satu serbuan di Balakong. Foto KPDNHEP

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM67,750. Kes disiasat dibawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang- barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar Halim memberitahu, modus operandi peniaga itu ialah dengan mengiklankan pakaian berjenama tiruan dengan harga yang lebih murah dari pasaran bagi menarik perhatian pembeli.

Ujarnya, pengadu kemudiannya berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran selepas membuat pesanan dalam talian. 

“Alamat peniaga tersebut tertera pada bungkusan yang dikirimkan kepada pengadu. 

“Rentetan dari urus niaga tersebut pengadu telah membuat perbandingan dengan pakaian jenama yang asli. 

“Setelah mengenal pasti pakaian yang dibeli adalah tiruan, pengadu telah membuat aduan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk tindakan yang selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Halim berkata, jika disabitkan kesalahan, lelaki berkenaan boleh dikenakan penalti seperti berikut :

(i) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi lima belas ribu ringgit (RM15,000.00) bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit (RM30,000.00) bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

(ii) jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit (RM10,000.00) bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit (RM20,000.00) bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bahagian Penguat Kuasa memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain dan mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800, WhatsApp 019-2794317 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri kemana–mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan