25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Siapa sebenar ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’?

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh MOHAMAD ASRI

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beberapa minggu lalu pernah mengumumkan `gencatan politik’ bagi menumpukan perhatian kepada agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan hidup. 

Beliau juga menegaskan pendirian UMNO untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan memperkasakan kerjasama dengan semua parti dalam PN  bagi menjamin kestabilan politik ketika negara berhadapan dengan ancaman pandemik itu .

Itu beberapa minggu lalu. Semalam nada Zahid sudah lain bunyinya. Sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021), Presiden UMNO itu ‘bertubi-tubi’ menyerang kerajaan atau lebih tepat lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan perkataan-perkataan ‘berlapik’ dan ‘nampak baik.

Hanya orang tidak bijak sahaja yang tidak boleh mentafsir bait-bait kata tersebut.  

Itu tidak mengejutkan pun. Sejak ‘gencatan politik’ dilafazkan, pelbagai kenyataan berbaur ‘ugutan’ terus dikeluarkan oleh segelintir pemimpin UMNO daripada ‘kluster mahkamah’ terutama selepas Belanjawan 2021 dibentangkan.

Salah satu contohnya kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021. Najib menegaskan Belanjawan 2021 akan disokong secara bersyarat terutama dalam isu Akaun1, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium.

Jika diperhatikan, suara segelintir ahli-ahli Parlimen UMNO ini senada sahaja dengan suara pemimpin PKR, DAP, Amanah dan Pejuang yang meletakkan pelbagai syarat tak ubah seperti syarat Sultan Mahmud mahu meminang Puteri Gunung Ledang jika mahu belanjawan tersebut disokong.

Zahid dalam ucapannya juga bercakap tentang perlunya ada ‘kejujuran dalam berpolitik’ baik sebagai rakan kongsi mahu pun atas nama dokongan serta mengenepikan `muslihat politik.’ Jika diamati, terang-terangan itu ditujukan kepada kerajaan PN dan Perdana Menteri. 

Zahid turut meminta agar usul undi percaya atau sebaliknya (dibaca sebagai undi tidak percaya) ke atas kepimpinan  Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dijadikan keutamaan di Dewan Rakyat. Jika tidak dapat dilakukan kerana kekangan Peraturan Mesyuarat, sesuatu mesti disesuaikan bagi membolehkan usul itu diutamakan.

Tidakkah kenyataan ini sangat senada dengan DatuK Seri Anwar Ibrahim yang masih tidak berputus asa mahu usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin diteruskan kerana mendakwa ` saya ada jumlah yang mencukupi!’ 

Advertisements

Persoalannya sejauh manakah Zahid sendiri memegang kepada kepercayaan `kejujuran dalam berpolitik itu?’

Ingat lagi peristiwa ini? Sehari selepas berjumpa dengan Muhyiddin pada 9 Oktober lalu bagi menyatakan sokongan kepada kepimpinannya, Zahid dan Najib secara diam-diam didakwa mengutus surat bertarikh 11 Oktober kepada Istana Negara bagi menyatakan sokongan pula kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tindakan itu dilakukan tanpa pengetahuan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan membelakangkan Pas, rakan dalam Muafakat Nasional (MN). Inikah kejujuran politik yang Zahid maksudkan?  

 Percayalah, menjelang hari penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 yang tinggal beberapa hari sahaja lagi akan muncul banyak lagi  â€˜gerakan politik’ bagi mengugut kepimpinan kerajaan sekarang.                    

Semalam sebuah portal berita mendedahkan rancangan Pakatan Harapan (PH) bagi menggagalkan Belanjawan 2021 yang didakwa bakal menjadi punca kejatuhan kerajaan PN.

Satu ‘dokumen ringkas’ yang disediakan oleh seorang Ahli Parlimen PH antara lain menyebut: “Jika kamu gagalkan undi belanjawan pada 26 November, kamu boleh cuba membentuk kerajaan baharu dalam tempoh seminggu, kemudian dengan kadar segera bentangkan kembali belanjawan, pastikan ia diluluskan pada pertengahan Disember dan minta Dewan Negara memberi lampu hijau sebelum 1 Januari 2021.”

Walaupun telah banyak kali Yang di-Pertuan Agong bertitah agar semua ahli politik menghentikan politiking bagi memberi peluang kepada kerajaan menumpukan perhatian kepada usaha memerangi Covid-19, titah tersebut nampaknya sudah dilupakan malah tidak dipedulikan lagi.

Malah ada segelintir ahli politik yang berani mentafsir titah Seri Paduka itu mengikut tafsiran sendiri semata-mata demi menghalalkan perbuatan politiking masing-masing.

Pepatah telunjuk lurus, kelingking berkait membawa makna orang yang pada zahirnya kelihatan baik tetapi di dalam hatinya jahat. 

Tidak pasti kepada siapa peribahasa itu ditujukan. Cuma ingat satu kata orang tua-tua, `berhati-hati menuding jari, satu jari dituding kepada orang lain, tiga jari menuding diri sendiri.’

  • Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan