26.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Hentikan pembangunan hutan di Lenggong

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Perak diminta membatalkan rancangan pembangunan hutan di kawasan seluas 400 hektar di mukim Temelong dan Kota Tampan dekat Lenggong dan menukarnya ke kawasan lain dari daerah itu.

Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, projek itu jika dilaksanakan hanya mengakibatkan pencemaran sungai di kawasan tadahan air dan air terjun selain bakal menjejaskan projek  ternakan udang galah bernilai jutaan ringgit diusahakan penduduk sekali gus menjejaskan kegiatan ekonomi penduduk. 

Shamsul Anuar Nasarah

Kata ahli Parlimen Lenggong itu, daerah tersebut kaya dengan keindahan alam semulajadi yang menjadi tarikan pelbagai pihak dalam dan luar negara, berpotensi besar dijadikan kawasan pelancongan apatah lagi ia Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menurutnya, beliau memahami keperluan pembangunan namun kepentingan memelihara dan menjaga hutan sebagai khazanah bernilai tinggi perlu diberikan keutamaan. 

“Khazanah ini mesti dipelihara. Pencemaran dan kemusnahan alam perlu dielakkan. 

“Justeru ianya lebih bernilai daripada pembalakan dan boleh menjana pendapatan kepada negeri Perak. 

“Saya fikir Kerajaan Perak perlu menghentikan sebarang aktiviti pembalakan di keseluruhan Daerah Kecil Lenggong. Adalah lebih besar keuntungannya jika sektor pelancongan dibangunkan dengan hutan sebagai eset utamanya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Perak Datuk Seri Faizal Azumu berkata, tiga syarikat terlibat dalam projek Pembangunan Ladang Hutan di Hutan Simpan Piah dekat Lenggong dicadangkan agar bertukar ke kawasan lain susulan terdapat bantahan daripada penduduk kampung berdekatan.

Katanya, ketiga-tiga syarikat berkenaan memperoleh kelulusan permit penggunaan bagi tujuan Projek Pembangunan Ladang Hutan seluas 400 hektar di kawasan berhampiran Mukim Temelong dan Mukim Kota Tampan.

Beliau berkata kelulusan yang diberikan sebelum ini adalah secara dasar kerana ia tertakluk kepada laporan disediakan oleh Pejabat Hutan Daerah dan kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA).

Advertisements

“Pada masa ini pihak Pejabat Hutan Daerah sedang menyediakan laporan kesesuaian dan penilaian kesan sosial manakala pihak syarikat belum lagi menyediakan laporan EIA.

“Bagaimanapun pihak jabatan sedar tentang bantahan daripada tiga buah kampung yang terletak berdekatan dengan kawasan kelulusan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, pembangunan kawasan hutan itu difahamkan diluluskan pada 8 Januari 2019 sewaktu Pakatan Harapan (PJ) memerintah Perak. 

Ujarnya, mengetahui tiga buah kampong iaitu Kampong Luat, Kampong Chepor dan Kampong Beng Lenggong akan menerima kesan jika projek itu dilakukan. 

Katanya, beliau tahu ada pimpinan kampung yang menyokong dan ianya adalah daripada pimpinan kampong sewaktu Kerajaan PH memerintah. 

“Realitinya penduduk kampong membantah. Saya tahu mereka membantah kerana bantahan itu, sampai kepada saya selaku Ahli Parlimen Lenggong.

“Saya dimarahi penduduk yang mengundi saya kerana pembalakan di kawasan ini. Ia tidak memberi kebaikan kepada mereka.

“Kuasa meluluskan kawasan pembalakan adalah kuasa kerajaan negeri. Namun kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pengarah Jabatan Perhutanan Perak. Mohon mengambil tindakan sepatutnya.

“Saya ahli parlimen mereka. Dan wajib saya menjaga kepentingan mereka.

Malah, saya ingin nyatakan disini. Kampong Luat Lenggong adalah kampong saya sendiri,” tambahnya.

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan