HEBAT sungguh pembangkang dan segelintir ahli politik kerajaan yang menentang habis-habisan cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha memerangi Covid-19.
Meneliti setiap satu hujah yang dilontarkan boleh dikatakan hampir semua mengaitkan cadangan itu dengan usaha Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu mempertahankan kedudukan sebagai Perdana Menteri.
Ternyata, hujah mereka hanya dari sudut politik semata-mata, tiada cadangan bagaimana mahu mengelakkan darurat dilaksanakan. Mereka hanya bercakap soal Muhyiddin mahu guna darurat kerana tiada majoriti, Muhyiddin nak jadi diktator, Muhyiddin nak perkukuhkan kuasa.
Sebelum ni mereka juga yang terpekik terlolong menggesa Muhyiddin tumpu kepada isu Covid-91 bukannya politik, mereka juga rasa sedih sebab ada 1,000 murid terkena wabak, mereka juga rasa bimbang bila ramai kehilangan pekerjaan, mereka juga menuduh Muhyiddin gagal tangani Covid-19.
Tetapi bila kerajaan bercadang melaksanakan darurat bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada Covid-19 dan sekaligus meredakan kekalutan politik, mereka pula bagaikan ‘kuntilanak menjerit tidak dapat jejak tanah.’
Persoalan apakah jaminannya pembangkang dan segelintir ahli politik kerajaan tidak akan membuat gangguan jika darurat tidak diisytiharkan? Adakah mereka boleh memberi jaminan bahawa akan memastikan Dewan Rakyat tidak akan menjadi bagaikan ‘sekolah tadika’?
Bolehkan mereka memberi jaminan bahawa mereka tidak akan melakukan gerakan untuk melaksanakan undi tidak percaya dan menolak bajet sehingga akan menyebabkan politik negara terus tegang?
Harus diingat boleh sahaja darurat tidak disytiharkan, tetapi bersediakah pembangkang membuat perakuan tidak akan ganggu Muhyiddin berkaitan politik sehingga masalah Covid-19 selesai.
Sudah pasti mereka tidak mungkin berbuat demikian kerana penentangan mereka terhadap cadangan darurat bukan kerana ia menjejaskan negara tetapi akan membantutkan usaha mereka menjatuhkan Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat pada 2 November ini.
Oleh itu jika ikhlas menentang darurat demi rakyat dan negara, jangan ganggu Muhyiddin dengan isu politik. Kalau mahu berpolitik tunggu sahaja Covid-19 dapat dihapuskan dari bumi Malaysia, bukannya mahu ‘hapus’ kedudukan Muhyiddin sebagi Perdana Menteri ketika wabak itu terus tengah ‘mengganas’.
Bukan kata Muhyiddin malah mana-mana pemimpin pun tidak akan dapat beri tumpuan menyelesaikan apa-apa masalah negara, kalau terus diganggu dengan gerakan, ugutan dan desakan bermotif politik.
Memanglah senang cakap, Muhyiddin letak jawatan atau bubar Parlimen atau serah mandat kepada rakyat tetapi apakah jaminannya politik negara akan kembali aman?
Penulis tidak pasti sama ada pemimpin-pemimpin berkenaan memahami atau betul-betul berjuang untuk rakyat, kalau betul itu niat mereka sudah pasti mereka tidak akan berpolitik sepanjang masa. Malah mereka juga akan tahu bagaimana menyampahnya rakyat terhadap krisis atau pergelutan politik yang tidak sudah-sudah sejak Mac lalu.
Rakyat bak kata orang sudah ‘nak muntah hijau’ melihat seorang demi seorang pemimpin berbalas hujah politik. Kalau pembangkang itu, tidak hairanlah sebab sampai bila-bila pun itulah perangai pembangkang.
Yang anehnya dalam parti kerajaan sendiri, apatah lagi sesetengah yang bercakap tu pula ada yang sudah kalah pilihan raya (malah penulis percaya kalau bertanding mungkin kalah lagi), ada pula yang dulu diberi tugas dalam kerajaan kerjapun tak ke mana asyik ‘mempertahankan boss’ membuta tuli sahaja sehingga rakyat meluat, akhirnya kerajaan tumbang.
Ketika mereka terus mempolitik rakyat tengah susah, rakyat hidup dalam kesempitan, kerajaan tengah bertungkus lumus memerangi Covid-19.

Setiap hari rakyat bukan menunggu parti mana yang ada majoriti, setiap hari mereka bukannya mahu tahu Muhyiddin ada sokongan atau tidak, yang mereka hendak tahu ialah statistik kes Covid dan apa yang kerajaan mahu lakukan untuk menanganinya bagi mengelakkan kehidupan mereka terjejas.
Inilah yang sepatutnya difahami oleh ahli-ahli politik yang sibuk siang malam dok fikir bagaimana mahu menjatuhkan Muhyiddin. Kalaupun dah kemaruk sangat mahu menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri tunggulah Covid-19 selesai dahulu.
Tak kanlah ketika Covid-19 tengah ‘menggila’, ahli politik pun nak ‘jadi gila’ melakukan tindakan yang boleh mencetuskan pilihan raya. Tidak insaf lagikah dengan apa yang berlaku di Sabah yang memungkinkan kes Covid merebak semula?
Nanti kalau kerajaan terpaksa buat PRU, mereka akan salahkan kerajaan sama seperti di Sabah, orang lain yang jadi punca PRN, PN pula yang dituduh.
Justeru kalau benar pembangkang ikhlas berjuang untuk rakyat, bimbang darurat akan menyusahkan rakyat, selesaikan kemelut di meja rundingan. Pastikan penolakan bajet tidak menjadi ugutan yang akan terus menghuru-harakan negara.
Mungkin dengan menolak bajet, ahli-ahli politik akan gembira kerana berjaya menjatuhkan kerajaan yang baru berusia enam bulan, tetapi yang akan lebih menderita adalah rakyat. Memetik kata-kata seorang ahli perniagaan, “negara akan runtuh’’.
Penulis percaya, semua ahli politik tahu bahana ini, tetapi apa boleh buat inilah politik. Soal memperjuangkan nasib rakyat hanya retorik dan modal termahal untuk berkuasa.
Kalau apa yang dikatakan ini tidak benar, pastikan jika darurat tidak disytiharkan, redakan suhu politik dengan tidak menolak bajet dan terus mengizinkan Muhyiddin melaksanakan tanggungjawabnya sekurang-kurangnya bagi memastikan negara ini bebas daripada Covid-19, selepas itu nak PRU silakan sahaja.
Tetapi jika mereka masih lagi mahu berpolitik, menolak darurat kerana dilihat peluang terbaik untuk menjatuhkan Muhyiddin terbuktilah yang kemaruk kuasa bukan Muhyiddin, yang mahu menjadi diktator bukan Muhyiddin tetapi ahli-ahli politik yang menolak darurat tersebut.