24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Rais Yatim Yang Dipertua Dewan Negara ke-18

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 mengetepikan dua lagi calon lain.

Rais yang juga bekas menteri antara tiga calon yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu, selain Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Senator Theodore Douglas Lind.

Bagaimanapun, Theodore menarik diri pada saat akhir. Rais menggantikan Tan Sri S A Vigneswaran yang tamat perkhidmatan.

Pengiraan undi menyaksikan Rais, 78, memperoleh 45 undi manakala Mohd Yusmadi 19 undi dan seorang tidak hadir.

Rais mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara, bersama lima yang lain pada 16 Jun lalu.

Sebelum ini, usul pencalonan Rais dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Usul itu disokong olah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya.

Wakil PKR, Senator Dr Ahmad Azam Hamzah pula bangun mengusulkan pelantikan Mohd Yusmadi, disokong Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid.

Memetik Berita Harian, keputusan undian diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad.

Sementara itu, usul melantik Theodore ditarik balik yang dimaklumkan oleh Senator Datuk Marzuki Yahya daripada Bebas.

Selepas semua usul cadangan dibentangkan, Senator Nga Hock Cheh mengemuka peraturan mesyuarat mempertikai pencalonan Rais yang menganggap ia bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Negara memandangkan Muhyiddin bukan Ahli Dewan Negara.

Advertisements

Bagaimanapun, Abdul Halim memutuskan bahawa Perdana Menteri juga sebahagian daripada ahli majlis mesyuarat dewan dan beliau mempunyai hak berdasarkan Peraturan Mesyuarat 2 (3) untuk mencalonkan sesiapa dalam kalangan Ahli Dewan Negara sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

“Saya mendengar dengan penuh teliti dan faham, walaupun perdana menteri bukan Ahli Dewan Negara tetapi beliau merupakan Ketua Majlis yang bertindak dalam menentukan tarikh persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Tidak dinyatakan dalam mana-mana Peraturan Mesyuarat hanya Ahli Dewan Negara sahaja yang boleh mencalonkan seorang ahli yang lain sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara,” katanya.

Perkara yang dinyatakan oleh Timbalan Speaker itu kemudiannya disokong oleh Takiyuddin.

Walaupun Nga cuba membantah, Abdul Hamid menyatakan keputusannya muktamad dan memutuskan untuk menjalankan pemilihan dengan undi bersurat memandangkan pencalonan lebih daripada seorang, bersesuaian dengan Peraturan Mesyuarat 2 (3).

Rais, bekas Ahli Parlimen Jelebu yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, memulakan kerjaya dalam kerajaan sebagai guru sementara di Sekolah Menengah Inggeris Kota, Rembau, Negeri Sembilan pada 1961.

Beliau kemudian menceburi politik pada 1967 dengan menyertai UMNO Cawangan Triang dan sejak itu memegang pelbagai jawatan, termasuk menjadi anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Rais dilantik sebagai Setiausaha Parlimen, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1974 hingga 1976, selain pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Undang-undang (1976-1977) serta Timbalan Menteri Dalam Negeri (1977-1978) dan Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978 hingga 1982.

Beliau pernah bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Semangat 46, namun ia dibubarkan, sebelum beliau kembali semula kepada UMNO.

Sebaik tamat khidmatnya dalam kerajaan, Rais dilantik Presiden Keenam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkuat kuasa Jun 2013.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan