29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Malu lahir bayi tanpa suami,ibu rendam bayi hingga maut

Mesti Baca

JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia tergamak membunuh bayi yang baru dilahirkannya dengan membiarkannya lemas di dalam sebuah baldi berisi air selepas malu hamil dan melahirkan anaknya tanpa seorang suami.


Memetik Detik News, kejadian itu berlaku di daerah Rembang, Jawa Tengah pada 16 Ogos lalu.


Wanita itu, Ila Khurin Numawati, 27, kini ditahan polis Rembang setelah mengaku melakukan perbuatan tidak berperi kemanusiaan tersebut.


Ketua Polis Rembang, Kurniawan Tendi Rongre berkata, selepas kejadian pada Selasa, bayi lelaki malang itu dikebumikan keesokan harinya.


“Penduduk kampung kemudiannya membuat laporan polis tentang kejadian itu yang kemudiannya melakukan siasatan.


“Pada 20 Ogos, polis membongkar kubur bayi itu dan membuat bedah siasat,” katanya, hari ini.


Rongre berkata, wanita itu kini merupakan suspek utama pembunuhan anaknya di bilik air rumahnya di mukim Sedan, Rembang.


Menurutnya, suspek berasa malu kerana mengandung dan melahirkan bayi padahal dia masih tidak mempunyai suami.

“Ketika proses melahirkan,  kaki bayi itu keluar terlebih dahulu. Suspek kemudiannya mengambil baldi dan meletakkannya antara kedua-dua kakinya. Bayi itu kemudiannya diletakkan dalam baldi tersebut,” jelasnya.

Ujarnya, suspek kemudiannya membasuh tubuhnya yang berlumuran darah selepas bersalin.

“Suspek secara sengaja menyiram tubuhnya dan air yang jatuh itu memenuhi baldi yang diletakkan pada kakinya.

“Sehingga ketika baldi itu dipenuhi air, bayi malang itu terendam selama satu jam,” katanya.

Sementara itu, di hadapan media, suspek mengaku kepada polis dia melakukan perbuatan tersebut secara sedar sehingga mengakibatkan bayi berkenaan meninggal dunia.

“Ya saya sadar, saya menyesal,” kata suspek sebak.

Berikutan kejadian itu, suspek didakwa mengikut Perkara 76 C Jo Pasal 80 ayat (3) dan (4) UU RI Nomor 35 tahun 2014 tentang perubahan atas UU RI Nomor 23 tahun 2002 tentang perlindungan anak.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda maksimum 3 bilion rupiah (RM284,874). – Edisi9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan