25.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Peningkatan kes Covid-19, sekatan masuk warga Filipina, Indonesia, India

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan sekatan ke atas pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia, dan Filipina berkuatkuasa 7 September.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, langkah itu diambil berikutan kenaikan kes Covid-19 secara mendadak di negara berkenaan.

Menurut beliau, sekatan ini merangkumi enam kategori antaranya warga asing yang memegang status Penduduk Tetap, pelajar warga asing yang belajar di Malaysia, pemegang pas residen, ekspatriat dan pas lawatan profesional (PVP).

“Jika dulu kita umumkan kelonggaran bagi pemegang pas ini tetapi melihat kepada peningkatan kes terutama di tiga negara ini, kita buat keputusan untuk kenakan sekatan kemasukan.

“Buat masa ini, kita hanya memutuskan tiga negara itu sahaja. Sekiranya terdapat peningkatan kes di negara lain, hal yang sama akan kita laksanakan kepada mereka,” katanya  hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB – foto MALAY MAIL

Dalam perkembangan berkaitan, mengulas mengenai Tabung Covid-19, Ismail Sabri berkata, tabung itu menerima sumbangan sebanyak RM44.517 juta daripada institusi diraja, syarikat korporat, dan individu sejak dilancarkan pada 11 Mac.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah itu, RM31.5 juta dibelanjakan untuk program bakul makan (RM25.23 juta), bantuan khas pengurusan kematian (RM595,000), dan bantuan khas hilang pendapatan (RM5.67 juta) membabitkan 4,134 penerima.

Tarikh tutup permohonan bantuan khas Covid-19 dilanjutkan mengikut tempoh pelaksanaan PKP iaitu sebulan selepas PKP ditamatkan.

“Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Disember dan tempoh pelaksanaan tabung ini juga dilanjutkan sebulan selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata,  seramai 673 individu dikompaun semalam kerana melanggar PKPP sekali gus jumlah terbesar dikenakan kompaun dalam masa sehari sejak ia dikuatkuasakan.

Beliau berkata, seramai 778 individu ditahan kerana melanggar arahan PKPP dan 600 daripadanya ditahan kerana melakukan aktiviti pub serta kelab malam.

Ismail Sabri berkata, jumlah yang ditahan itu adalah terbesar setakat ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Mereka yang ditahan itu membabitkan 98 individu direman; tujuh diikat jamin dan 673 individu dikenakan kompaun. Ini jumlah terbesar dikenakan kompaun dalam masa satu hari,” tambah beliau.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan