27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

UMNO jangan angkuh, perjuangan belum selesai

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


TERNYATA kehadiran Bersatu ke dalam Muafakat Nasional itu tidak dialu-alukan oleh sesetengah kelompok di dalam UMNO.

Pelbagai hujah dizahirkan kerana mereka masih terluka dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Bersatu ketika berada dalam Pakatan Harapan dahulu.

Mereka berhak mempunyai perasaan sedemikian tetapi pada masa mereka juga harus membuat pertimbangan dengan sebaik-baiknya kerana memiliki dendam kesumat tidak akan mendatangkan kebaikan kepada parti bagi mencapai matlamat lebih besar.

Apakah kerana dendam lama, kita perlu mengenepikan sebarang usaha menyatukan parti Melayu?

Tidak dapat dinafikan bahawa Muafakat Nasional yang menyaksikan gandingan mantap UMNO dan Pas telah mewujudkan satu kegerunan politik kepada parti-parti pembangkang.

Kemenangan dalam Pilihan raya kecil di Semenyih, Cameron Highlands, Chini, Rantau, Tanjong Piai, Kimanis dan terbaru di DUN Slim membuktikan keampuhan muafakat tersebut.

Tetapi persoalannya apakah kejayaan itu mampu membuatkan sesetengah kelompok dalam UMNO mendabik dada sehingga merasakan muafakat tersebut tidak memerlukan Bersatu?

Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Annuar Musa ketika menyertai ceramah Muafakat Nasional sempena Pilihan Raya Kecil DUN Slim, Slim River, baru-baru ini.

Benar kata Setiausaha Agung Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa, kemenangan dalam PRK tidak menjamin kemenangan dalam PRU.

Hujah beliau, Barisan Nasional pernah menang bergaya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelum PRU-14, tetapi tewas kemudiannya.

“Justeru untuk PRU15, ramuan tepat diperlukan. Ia memerlukan muafakat kental Melayu, Bumiputera serta dokongan Cina, India dan lain-lain,” kata beliau dalam ciapan sebaik sahaja Barisan Nasional menang di PRK DUN Slim.

Oleh itu dalam menangani isu penyertaan Bersatu, sesetengah kelompok dalam UMNO perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh parti di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bukannya melakukan tindakan seolah-olah UMNO sudah cukup kuat biarpun jika terpaksa bertanding sendirian.

Sementara kepentingan dan kekuatan politik UMNO tidak harus dikompromi tetapi janganlah jalan perundingan dengan Bersatu mahu ditutup. Kaedah terbaik harus dicari kerana misi utama ialah menghalang Pakatan Harapan kembali berkuasa selepas PRU-15.

Kalau Pas di semua peringkat bersedia menerima keputusan pucuk pimpinan mereka untuk menerima Bersatu, kenapakah susah sangat kelompok tertentu dalam UMNO mahu mencontohi sikap yang sama.

Kepercayaan harus diberikan kepada Ahmad Zahid dan Majlis Tertinggi UMNO untuk membuat keputusan yang sebaik-baiknya demi kebaikan parti.

Penulis percaya Ahmad Zahid mahupun Majlis Tertinggi sudah tentu akan memastikan maruah UMNO tidak digadaikan dan kekuatan UMNO tidak dilemahkan hanya kerana mahu bekerjasama dengan Bersatu.

Sebab itulah Ahmad Zahid mengingatkan agar UMNO tidak dilayan seperti ‘melukut di tepi gantang’ biarpun bekerjasama dalam Perikatan Nasional.

Advertisements

Ketegasan Ahmad Zahid dan Majlis Tertinggi terbukti apabila UMNO memutuskan tidak menyertai dalam protem pendaftaran Perikatan Nasional.

Bagaimanapun janganlah kerana merasakan sudah kuat, ada kelompok dalam UMNO mahu menjadi angkuh.

Suka atau tidak, perlu diakui UMNO bertambah kuat bila bekerjasama dengan Pas dan kekuatan itu akan menjadi bertambah hebat jika sebuah lagi parti Melayu iaitu Bersatu turut dirangkul bersama.

Malangnya ketika ini di dalam UMNO seolah-olah ada perpecahan dan perbalahan apabila ada kelompok yang bersuara lantang tidak mahu berkompromi dalam soal bekerjasama dengan Bersatu. Akhirnya parti lain semakin kukuh, UMNO pula bagaikana mahu ‘menjemput’ perpecahan dalaman.

Senario ini harus dielakkan kerana seperti mana kata Annuar, “Yang paling menakutkan PH, sekiranya UMNO mampu bersatu padu dan menjadikan musuh politik dulu sebagai teman perjuangan sekarang… Apa yang paling menggembirakan PH ialah jika UMNO menjadi sombong, menambah musuh dan bermasalah sesama sendiri dan dengan semua orang. Kita pilih haluan kita.”

UMNO tidak boleh sombong dan angkuh hanya kerana menang pilihan raya kecil. Sementara perlu bersyukur dengan kemenangan tersebut tetapi mereka juga perlu faham dengan sedalam-dalamnya bahawa misi utama ialah menang PRU-15!

Kalau UMNO masih bercakaran sesama sendiri dan dilihat tidak bersatu padu ia sama sekali tidak akan menjamin parti itu akan mencatat kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang.

Pertahankanlah maruah UMNO, usaha berbalah dengan melontarkan hujah-hujah yang menjejaskan parti itu di mata rakyat khususnya orang Melayu.

Berilah kepercayaan kepada barisan kepemimpinan untuk membuat keputusan sebaik-baiknya demi kebaikan parti. Tidak boleh prasangka dan politiking sesama sendiri yang akan menyebabkan UMNO menjadi lemah dan inilah saat yang dinanti-nantikan oleh musuh-musuh UMNO!

Imbaslah kembali kepada Muafakat Nasional ditubuhkan. Ia bermatlamat menyatukan ummah dalam satu platform bagi memperjuangkan orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.

Sebab itulah sementara UMNO dan Pas mencapai kesepakatan menamatkan persengketaan politik selama berpuluh-puluh tahun, parti-parti lain seperti MCA dan MIC turut dirangkul bersama.

Langkah politik ini ternyata membuat hasil seperti mana paling jelas terbukti di PRK DUN Slim. Ternyata permuafakatan antara ummah amat dialu-alukan oleh rakyat khususnya orang Melayu.

Bagi memantapkan penyatuan ummah ini, kehadiran Bersatu adalah penting bagi mengelakkan parti Melayu bertanding sesama sendiri sehingga akhirnya boleh menyebabkan orang lain mengaut keuntungannya.

Oleh itu, jangan terlalu memikirkan keuntungan politik semata-mata, fikirkan juga soal penyatuan ummah.

Jika DAP boleh berbaik-baik dengan Tun Dr.Mahathir Mohamad, kalau dahulu Parti Melayu Semangat 46 boleh menubuhkan dua blok iaitu Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah dengan misi untuk menumbangkan Barisan Nasional, kenapakah ada dalam kalangan pemimpin UMNO begitu berat sangat menerima bekas rakan-rakan seperjuangan mereka daripada parti itu ke dalam Muafakat Nasional?

Justeru berbincang dan bermusyawarahlah dengan sebaik-baiknya. Insha-Allah niat yang baik pasti akan diberkati Allah SWT. Dan jika kita ikhlas apapun kesulitan pasti ditunjukkan jalan penyelesaian oleh-Nya.

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan