28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Denda RM568 jika beri makan kucing jalanan di Dubai

Mesti Baca

DUBAI – Penduduk kawasan komuniti elit Dubai diberi notis amaran denda 500 dirham (RM568) sekiranya didapati memberi makanan kepada kucing jalanan yang lapar di kawasan kejiranan mereka.

Peringatan tegas itu dikeluarkan pemaju kediaman mewah, Emar terhadap pemilik dan penyewa rumah di Emirates Living yang meliputi Emirates Hills, The Springs, The Meadows dan The Lakes.

Menurut akhbar tempatan, The National, peraturan itu juga sejajar garis panduan majlis perbandaran Dubai demi melindungi kepentingan kesihatan dan keselamatan para penduduk di tempat tersebut.

Pemaju terbabit dalam kenyataannya menerusi e-mel kepada mereka turut melampirkan pekeliling pihak berkuasa domestik itu yang melarang orang awam melakukan perbuatan ihsan berkenaan.

Ini termasuk sengaja memberi makan kepada burung sama ada gagak atau merpati selain haiwan terbiar seperti kucing dan anjing jalanan yang juga merangkumi seluruh pentadbiran wilayah emiriah Dubai.

“Masyarakat diingatkan bahawa tindakan murni itu bakal menggalakkan pembiakan haiwan di samping menyebar penyakit berjangkit dan menyebabkan bau busuk,” jelas Emar melalui notis khas yang bertarikh 8 September 2020.

Syarikat tersebut malah berkata, peraturan pelik itu dibuat bagi mengelakkan pertengkaran akibat perebutan wilayah serta dibimbangi menarik haiwan perosak seperti tikus atau lalat untuk datang dan membuat sarang.

Dubai
Kucing yang ditangkap diberi penjagaan rapi di klinik haiwan. Gambar: The National

Sebuah lagi pemaju hartanah di Dubai, Nakheel dalam kenyataan media kepada The National turut mengesahkan ada menghantar notis serupa kepada lebih 300,000 pemilik rumah di kawasan projeknya.

Penduduk Canal Residence West, komuniti berprestij di Dubai Sports City juga memaklumkan akhbar itu yang mereka ada menerima pekeliling sama daripada syarikat pengurusan hartanah di situ.

Bagaimanapun, langkah keras oleh pihak berkuasa tempatan itu dikritik teruk pelbagai pihak sambil menyifatkan hukuman denda sebagai didikan salah terhadap masyarakat untuk menjadikan mereka tidak berperikemanusiaan.

“Saya menetap di Jumeirah Village Triangle dan hanya tahu amaran ini daripada kejiranan sebelah, tetapi ini menyebabkan kucing terpaksa selongkar tong sampah cari makanan,” kata Dima Aboudan.

Wanita warga Syria berusia 45 tahun itu mengakui selalu memberi makanan kepada kucing jalanan yang kelaparan dekat apartmennya, malahan ramai penduduk juga tinggalkan makanan kering dan air bersih di tempat itu.

Dianggarkan terdapat puluhan ribu ekor kucing terbiar di seluruh Dubai, manakala di ibu kotanya, Abu Dhabi, jumlah mamalia comel itu yang dikesan hidup sekitar jalanan direkodkan lebih 100,000 ekor.

Selama bertahun-tahun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berhadapan masalah serius peningkatan kucing jalanan akibat dibuang oleh pemiliknya sendiri yang enggan membela banyak haiwan itu di rumah mereka.

Isu tersebut menyebabkan Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE pada 2018 bertindak menggubal undang-undang baharu bagi membanteras peningkatan kes pengabaian binatang peliharaan di kediaman.

Pesalah terbabit bahkan boleh disabitkan mahkamah sebagai pelaku kekejaman haiwan domestik dan dihukum berat termasuk denda atau penjara bagi didik masyarakat agar lebih bertanggungjawab. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan