MELAKA – Tindakan seorang wanita meninggalkan anak saudaranya yang baru berusia tujuh hari sendirian di ruang tamu berakhir dengan tragedi apabila tangan kanan bayi itu putus digigit anjing peliharaan keluarganya dalam satu kejadian dekat Bachang.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, insiden itu berlaku pada pukul 8.30 pagi Selasa lalu, ketika bayi berkenaan dijaga ibu saudaranya di rumahnya itu.
Katanya, wanita itu ketika kejadian membawa bayi berkenaan ke ruang tamu berdekatan pintu pagar rumah untuk dikenakan cahaya matahari bagi mengurangkan gejala penyakit demam kuning.
“Bayi itu baru sahaja diberi susu oleh ibunya yang masih berpantang dan ditemani suami yang sedang berehat di tingkat atas rumah.
“Bagaimanapun ketika hendak memandikan bayi berkenaan, ibu saudara meletakkan bayi itu seperti biasa di atas bantal berdekatan pintu pagar yang ditutup rapat untuk dikenakan cahaya matahari,” katanya yang dipetik Berita Harian.
Mohd Nor Yhazid berkata, wanita itu kemudian meninggalkan bayi seketika untuk mengambil air mandian.
Namun apabila dia kembali semula ke pintu, wanita itu terkejut apabila melihat tangan kanan bayi itu sedang digigit seekor daripada anjing peliharaan suaminya.
“Dalam keadaan panik itu dia melihat anjing berkenaan menggigit tangan kanan bayi di luar pagar diikuti tangisan kuat bayi yang berlumuran darah,” katanya.

Berikutan itu, wanita berkenaan menjerit sekuat hati, sekali gus mengejutkan ahli keluarga yang lain sebelum membawa bayi tersebut ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, pihak hospital meminta bayi itu dirujuk ke Hospital Melaka.
“Bayi malang itu ditempatkan di zon merah bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan doktor pakar. Ketika ini, bayi itu sedang menjalani pembedahan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nor Yhazid berkata, anjing milik suami wanita berkenaan dipercayai jenis plott hound dan didapati dibiarkan tanpa diikat atau dikurung di kawasan rumah bagi tujuan menjaga kawasan kediaman.
“Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah menangkap haiwan berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001/289 Kanun Keseksaan,” katanya.