24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Banyak hotel di UAE mula tawar menu kosher Yahudi

Mesti Baca

DUBAI – Susulan hubungan diplomatik Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Israel pada 13 Ogos lalu, banyak hotel di negara Islam itu mula menjual makanan kosher demi ‘memikat’ pelanggan Yahudi.

Langkah bersejarah itu ekoran jangkaan ramai rakyat Israel, terutama yang ‘tegar’ mengamalkan ajaran Yahudi, akan berkunjung ke UAE menerusi penerbangan langsung antara kedua-dua negara.

Menurut akhbar tempatan, Khaleej Times, Habtoor Hospitality muncul sebagai kumpulan hotel pertama memperkenalkan menu yang berasaskan kosher dalam senarai portfolio kulinari mereka.

Rangkaian hotel itu sudah menjalinkan kerjasama dengan Ellis Kosher Kitchen berpusat di Dubai yang baru ditubuhkan pada 2019, namun amat terkenal dalam penyajian Yahudi di sekitar UAE.

Agensi katering tempatan ini diasaskan oleh Elli Kriel, wanita Yahudi yang berasal dan dibesarkan di Afrika Selatan sebelum bersama-sama pasangannya, Ross Kriel berpindah ke UAE pada 2013.

Kebetulan, suaminya itu ialah pengasas dan presiden komuniti Yahudi Ortodoks di UAE yang turut memimpin sebuah kuil saumaah di Dubai bagi kegunaan ibadah rutin ribuan penganutnya.

Dianggarkan terdapat lebih 3,000 orang Yahudi dari 150 keluarga menetap di UAE dan mereka merupakan penduduk asal sejak ratusan tahun lalu yang terlibat dalam aktiviti perniagaan kecil.

Seperti makanan halal bagi umat Islam, kosher turut ada garis panduan ketat penyediaan menu berdasarkan kepada ajaran Yahudi dan lazimnya mudah ditemui di kebanyakan negara Barat.

Advertisements

Khaleej Times melaporkan, Habtoor Hospitality yang diasaskan pada 1970, ‘bijak’ mengambil peluang kemasukan pelawat Israel dengan promosi hidangan kosher melalui tujuh hotel kendaliannya itu.

Ini meliputi Hilton Dubai, V Hotel, Habtoor Palace Dubai LXR Hotels and Resort, Waldorf Astoria Dubai Palm Jumeirah, Habtoor Grand Resort, Metropolitan Hotel dan Habtoor Polo Resort.

Kumpulan hotel itu beri jaminan bahawa sajian Yahudi yang disediakan pihak Ellis Kosher Kitchen turut dapat sijil Orthodox United (OU) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat (AS).

Agensi pensijilan kosher ternama antarabangsa itu bertanggungjawab dalam pentauliahan lebih sejuta produk dan hidangan melibatkan sejumlah 12,000 premis di 104 negara seluruh dunia.

Dengan nilai jualan global lebih AS$150 bilion (RM622 bilion) setahun, permintaan tinggi kosher turut mendorong badan Yahudi terkenal, American Jewish Committee membuka pejabatnya di Dubai.

Ini bagi membantu penganut agama itu dari luar negara untuk dapat maklumat mengenai premis yang ada makanan kosher dan panduan ibadah di dua buah saumaah tempatan diperakui kerajaan UAE.

Habtoor Hospitality menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa, pelabelan OU amat penting bagi memberi keyakinan kepada pelawat Israel yang diketahui agak cerewet dalam isu makanan.

“Kami mahu setiap pelanggan berpuas hati merasai pengalaman ‘pengembaraan’ kulinari yang selamat termasuk ketika acara korporat, persidangan, mesyuarat atau perkahwinan,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan