29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kes Covid cecah 3 angka: PM minta rakyat kekal berjaga-jaga

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Susulan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 kepada tiga angka hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat supaya kekal berjaga-jaga.

Sambil melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes itu, beliau berkata risiko dan bahaya penularan wabak Covid-19 masih ada, dan ia belum selesai.

Muhyiddin pada majlis sambutan ulang tahun keempat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, malam tadi. -BERNAMA

Muhyiddin yang dipetik Bernama berkata, menurut pakar perubatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), keselamatan rakyat tidak akan terjamin selagi vaksin masih belum ditemui.

“Kerajaan telah buat keputusan bahawa mesti ada tindakan yang tegas dan segera diambil untuk menentukan walaupun kita tidak mengeluarkan vaksin, tetapi vaksin mesti ada di hadapan rumah kita.


“Tindakan sedang diambil untuk menguruskan soal penting ini (vaksin) dan kerjasama dengan negara pengeluar sudah kita jalin untuk jamin bekalan mencukupi pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun keempat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, malam tadi.


Semalam, kes baharu Covid-19 meningkat kepada tiga angka iaitu 100 kes berbanding 62 kes kelmarin menjadikan kes positif kumulatif di Malaysia kini berjumlah 9,559 kes.


Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan, nilai kebolehjangkitan atau R naught (R0) Covid-19 di negara ini meningkat kepada 1.72 berbanding hanya 0.72 yang dicatatkan dua minggu lepas.

DR NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, peningkatan ketara itu menggambarkan situasi risiko berlakunya lebih banyak jangkitan  dalam komuniti.

Menurutnya, berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh KKM, terdapat juga peningkatan pergerakan masyarakat di dalam Malaysia.


“Masyarakat kemungkinan kian alpa dan tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Nasihat-nasihat yang telah diberikan mulai diambil ringan, dan ini termasuklah juga oleh petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan dan juga lain-lain agensi,” katanya dalam sidang media semalam.

Dr Noor Hisham memberitahu, petugas barisan hadapan sememangnya berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 atau lain-lain penyakit berjangkit ketika di fasiliti kesihatan.

Beliau menegaskan, tidak kiralah di fasiliti Kerajaan atau swasta. Selain itu, petugas kesihatan juga boleh mendapat jangkitan semasa berada di dalam komuniti, iaitu sama seperti individu yang lain di dalam masyarakat.

“Justeru, pematuhan 100 peratus terhadap garis panduan dan tatacara pengurusan semasa bertugas dan juga semasa tidak bertugas adalah amat penting.

“Ketidakpatuhan akan mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19,” katanya.

Pada sidang media sama, Dr Noor Hisham mengesahkan seorang anggota kesihatan daripada Kluster Sungai yang didapati telah menjangkiti tujuh orang ahli keluarganya.

Sebagai rekod, R0 adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes itu.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan