24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Angkara COVID-19, stadium di Uzbekistan jadi pusat peperiksaan

Mesti Baca

TASHKENT – Bimbang dengan penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di Uzbekistan, lebih 1.4 juta pelajar terpaksa menduduki peperiksaan kemasukan universiti awam di dalam stadium.

Media tempatan melaporkan, mereka dikehendaki ‘membanjiri’ arena sukan di seluruh negara sejak 2 September lalu bagi menjalani ujian khas itu yang berlangsung ketat sepanjang dua minggu tersebut.

Peperiksaan secara besar-besaran itu menyaksikan pemohon mengambil ujian selama tiga jam dengan duduk di meja yang disusun di setiap lorong balapan atau laluan stadium ditetapkan.

Kesemua calon itu bersaing sengit untuk merebut sekitar 150,000 tempat yang terhad di hampir 70 buah universiti di bawah sistem kemasukan berpusat yang diuruskan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Walau bagaimanapun, susulan isu pandemik COVID-19, mereka yang menghadiri sesi peperiksaan kali ini perlu memakai pelitup dan ada calon bernasib baik berasa selesa dapat duduk di tempat teduh.

Ironinya, ramai lagi kelihatan terpaksa ‘berjemur’ selama tiga jam di bawah terik matahari dengan suhu maksimum boleh mencecah sekitar 30 darjah Celsius jika keadaan cuaca panas seharian.

Negara tanpa laut bekas Kesatuan Soviet di rantau Asia Tengah dengan penduduk 34 juta orang itu baru sahaja menamatkan perintah berkurung di seluruh negara kali kedua bagi mengekang COVID-19.

Advertisements

Ini setelah berlaku lonjakan kes virus korona tersebut sewaktu pertengahan musim panas, yang turut ‘membebankan’ sistem penjagaan kesihatan awamnya sehingga kepada tahap amat maksimum.

Kerajaan Uzbekistan menyatakan bahawa kursus di universiti tempatan bermula secara dalam talian dan bukannya fizikal, manakala sekolah pula akan dibuka semula pada 14 September.

Tarikh diumumkan itu sebenarnya dua minggu lebih lambat daripada takwim kebiasaan dengan pembelajaran beralih kepada kaedah pengajaran jarak jauh, bergantung keadaan setempat.

Namun, pemerintah mengizinkan kafe dan restoran dibuka semula mulai 5 September dengan beberapa sekatan selain operasi panggung wayang, teater serta taman tema di negara Muslim tersebut.

Malah semua masjid juga dibenarkan untuk penganjuran aktiviti solat berjemaah di samping acara sembahyang beramai-ramai di tempat ibadat agama lain bermula pada tarikh tersebut.

Sementara itu, penggunaan pelitup terus diwajibkan di tempat awam tetapi acara besar-besaran pula yang disertai lebih 700 orang seperti konsert masih lagi tetap dilarang hingga akhir tahun.

Uzbekistan ketika ini telah mencatatkan secara kumulatif sejumlah 42,4237 pesakit positif COVID-19 termasuk 327 kematian sejak kes pertamanya direkodkan secara rasmi oleh kerajaan pada 15 Mac lalu. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan