29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kisah Veveonah: Menteri lemah gagal tangani isu mudah

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PENULIS tidak faham kenapa kisah seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menjawab soalan peperiksaan di atas pokok kerana liputan internet lemah menjadi isu yang berlarutan.

Penulis menyangkakan isu tersebut telah selesai selepas pelajar terbabit Veveonah Mosibin yang memuat naik dalam media sosial tentang kepayahan dia menjawab soalan peperiksaan secara dalam talian sehingga terpaksa bermalam di atas pokok.

Sebaliknya ia semakin rumit apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menuduh pelajar terbabit mereka-reka cerita sedangkan tidak ada peperiksaan sedang berlangsung semasa itu.

Ekoran tersebut, Ahli Parlimen Padang Besar ini teruk dikecam kalangan netizen, malah bagi menafikan tuduh itu, Veveonah sendiri ada mendedahkan jadual peperiksaan yang dijalankan

Isu tersebut seolah-olah menjadi bola tanggung untuk pembangkang apabila satu demi satu para pemimpin dan para pejuang siber Pakatan Harapan (PH) ‘menyerang’ Zahidi dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sentap dengan kecaman yang diterima ekoran kenyataan yang dibuat di dalam Parlimen itu, Zahidi akhirnya mengaku maklumat itu diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga Timbalan Menteri Kewangan.

Malah Rahim sendiri mengakui ada menjalankan siasatan terhadap Veveonah dan mendakwa daripada maklumat yang diterima, memang tidak ada peperiksaan dijalankan pada waktu tersebut.

Mengikuti isu ini, penulis mendapati punca utama isu ini berlarutan dan memburukkan keadaan kerana kegagalan menteri berkaitan menangani isu yang mudah.

Isu tersebut sudah pasti selesai jika Zahidi segera turun padang meninjau keadaan liputan internet di Pitas, Sabah iaitu lokasi di mana Veveonah tinggal.

Yelah, dalam keadaan Sabah yang bakal mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, inilah masanya kerajaan ‘membeli jiwa’ para pengundi Negeri di Bawah Bayu itu dengan menangani masalah-masalah rakyat dengan cepat dan bijak.

Bukannya mencari kesalahan dan kelemahan rakyat marhain untuk menutup kelemahan kerajaan sepertimana yang dihadapi oleh Veveonah.

Advertisements

Isu liputan internet yang lemah sebenarnya bukan hanya berlaku di Pitas, malahan hampir seluruh negara berhadapan isu yang sama, termasuk di kawasan pinggir bandar.

Apa sudah jadi dengan projek Kampung Tanpa Wayar di bawah kerajaan Barisan Nasional dahulu? – Gambar hiasan/Sumandak Bayu

Penulis pernah menyuarakan ketidakpuasan hati keadaan liputan internet di kawasan pantai di Parlimen Masjid Tanah dan perkara itu sudah mendapat maklum Ahli Parlimennya, Datuk Wira Mas Ermieyati Shamsuddin.

Malah, ketika penulis pulang ke Kemaman, Terengganu dan tinggal di sebuah hotel berjarak 10 kilometer dari pekan Kerteh, penulis turut menghadapi kesulitan untuk mengakses internet kerana liputan yang lemah.

Walaupun hotel tersebut dilengkapi dengan WiFi tetapi oleh kerana tiada pemancar terdekat menyebabkan hanya talian internet 3G sahaja yang sampai, itupun tercungap-cungap kerana tidak stabil.

Jadi adalah munasabah jika Veveonah menghadapi masalah untuk mengakses internet ketika berada di kampungnya di Pitas, apatah lagi bagi kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak.

Peliknya sebelum ini liputan internet di kawasan luar bandar boleh dikatakan sudah semakin baik ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu termasuk program Kampung Tanpa Wayar di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Apa sudah jadi dengan program ini? Barangkali Zahidi selaku timbalan menteri berkaitan tahu mengenai perkara ini.

Penulis tidak mahu membandingkan antara tiga kerajaan yang mentadbir negara dalam tempoh dua tahun ini, tetapi ketika negara yang sudah sepatutnya mencapai status negara maju tahun ini, ternyata isu internet masih gagal ditangani.

Apakah ‘kesulitan’ ini disengajakan untuk meredam ledakan media sosial bagi menangani penyebaran berita-berita palsu tidaklah penulis ketahui.

Namun, bagi penulis isu lemahnya liputan internet merupakan masalah nasional dan kementerian berkaitan sepatutnya cepat bertindak mengatasinya, dan bukan mencari-cari kesalahan rakyat.

Benda ‘simple’ je beb! – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan