24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Tindakan DAP bermain isu bahasa boleh cetuskan ketegangan kaum

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kesal dengan tindakan DAP yang tidak menghormati undang-undang apabila melakukan vandalisme secara terang-terangan terhadap papan tanda jalan di sekitar Kuching, malah mendabik dada dengan perbuatan mereka itu apabila menularkan perbuatan itu di media sosial.


Timbalan Ketua Pemuda PBB, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, tindakan DAP meletakkan tulisan bahasa Mandarin atau tulisan Cina ke atas beberapa nama jalan di sekitar Kuching tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan, jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1953/1967.


Menurutnya, peruntukan dan akta itu menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda nama jalan.

Tular di laman sosial tindakan DAPSY Kuching meletakkan tulisan Cina pada papan tanda di sekitar bandar raya ini.- foto FACEBOOK


“Tindakan DAP yang sengaja mengeksploitasi bahasa Cina juga boleh mencetuskan ketegangan dan boleh dianggap bermotif menghasut, kerana sesuatu kaum akan pantas bangkit  jika bahasa, budaya dan agama kaum itu digunakan sebagai ‘senjata’.


“Di bawah Akta Hasutan 1948, sesiapa yang dianggap cuba menghasut dengan membangkitkan isu berkenaan sehingga mencetuskan suasana tegang, konflik dan menggugat keselamatan, boleh dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tular di laman sosial tindakan DAPSY Kuching meletakkan tulisan Cina pada papan tanda di sekitar bandar raya ini.- foto FACEBOOK


Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong berkata, Pemuda PBB percaya semua rakyat Sarawak yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama, sayang akan bahasa dan budaya masing-masing, namun pada masa sama, semua kita harus menghormati perlembagaan dan bahasa kebangsaan.

Advertisements


Beliau menegaskan, semua penduduk harus bersikap realistik dalam perkara ini dan terus mempertahankan keharmonian kaum yang dinikmati selama ini.


“DAP yang ketandusan modal selepas mereka gagal menunaikan segala janji dalam manifesto PRU-14 apabila diberi peluang memerintah negara, jelas amat terdesak menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-12 sehingga sanggup mempolitikkan isu bahasa Cina hanya untuk kepentingan peribadi dan parti semata-mata. 


“Budaya politik negatif sebegini sememangnya tidak diterima di Sarawak yang amat menghargai perpaduan,” katanya.


Sementara itu, Fazzrudin menggesa pihak berkuasa tempatan supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat sebelum ia mencetuskan suasana kurang senang di kalangan masyarakat, sekaligus menguggat keharmonian kaum di Sarawak.


Hari ini tular di laman sosial tindakan DAPSY Kuching meletakkan tulisan Cina pada papan tanda di sekitar bandar raya itu.


Mereka mendakwa tindakan itu terpaksa dibuat selepas ia diabaikan oleh pihak berkuasa tempatan.- Edisi9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan