“JANGAN campuri urusan agama kami (Islam) kerana bagi kami agama lebih penting daripada politik.”
Demikian amaran yang dikeluarkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh terhadap DAPSY.
Menurut beliau, prinsip UMNO adalah menjaga agama bangsa dan tanah air dan bukan hanya berpolitik semberono.
“Maka mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan agama kami, bangsa kami tidak kira siapa pun mereka, maka ia menjadi tanggungjawab kami untuk lawan mereka.
“Apabila kamu campur urusan agama kami, maka menjadi tanggungjawab kami orang melayu muslim mempertahankannya dan bagi orang melayu muslim seperti kami, agama bangsa melebihi dari parti politik,” tegas beliau hari.
Akmal berkata demikian susulan kenyataan Ketua DAPSY yang menasihati beliau agar tidak bersikap “lebih ketua pemuda PN dari Ketua Pemuda PN sendiri.”
Akmal juga secara lantang mengingatkan bahawa urusan agama Islam adalah urusan orang Melayu dan bukan urusan DAP.
“Dan selama ini kami tidak pernah sentuh urusan agama kamu!
“Jangan terkejut jika satu hari nanti kamu akan kekal menjadi pembangkang buat selamanya jika kamu terus dan menerus menganggu gugat dan mencampuri urusan agama bangsa kami,” tegasnya.
Semalam, Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong memberi nasihat terakhir kepada Akmal supaya tidak bersikap lebih daripada Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) sendiri.
Ia susulan keputusan Jemaah Menteri semalam untuk tidak meneruskan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Perayaan dan Kunjungan Ke Rumah Ibadat Selain Islam di negara ini.
“Nasihat DAPSY Kebangsaan kepada Akmal Saleh selaku Ketua Pemuda UMNO yang juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, berhentilah daripada meneruskan polemik tersebut.
“Isu ini telah pun diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang turut melibatkan semua Menteri UMNO.
“Sebagai seorang ahli kerajaan dan ahli UMNO, Dr Akmal seharusnya akur kepada keputusan tersebut dan menghormati konsensus yang telah dicapai,” katanya. – Edisi 9

