Wednesday, July 22, 2026

Putus kerjasama: Akmal cabar DAPSY hantar surat rasmi

'Saya pun mahu tunggu sama ada berani atau tidak. Kalau setakat sembang kencing kuat ni, hancing sahaja dapat'

Mesti Baca

DATUK Dr Akmal Saleh mencabar Pemuda DAP (DAPSY) mengutuskan surat rasmi kepada ibu pejabat UMNO Malaysia jika mereka benar-benar mahu memutuskan hubungan kerjasama dengan beliau.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu berkata, DAPSY jangan hanya sembang kencang tetapi tidak berani untuk berbuat demikian.

“Jangan sembang kuat kencing sangat. Minta kamu punya bos hantar surat rasmi pada UMNO Malaysia untuk putus kerjasama.

“Saya pun mahu tunggu sama ada berani atau tidak. Kalau setakat sembang kencing kuat ni, hancing sahaja dapat,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini.

Akmal yang juga ADUN Merlimau mengulas kenyataan beberapa pemimpin DAPSY negeri yang mendesak partinya memutuskan hubungan dengan Akmal.

Ini berikutan tindakan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) masih terus bersuara lantang berhubung isu pemasangan bendera Jalur Gemilang terbalik walaupun sudah didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam semalam.

Akmal berkata, jika DAPSY tidak berani untuk memberitahu perkara itu kepada Setiausaha Agunh DAP, Anthony Loke Siew Fook, biar beliau sendiri yang melakukannya.

Sebelum ini Akmal berkata, jika DAP memutuskan hubungan dengan beliau bermakna parti itu menamatkan kerjasama dengan Pemuda UMNO dan UMNO sendiri.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi menyambut baik gesaan DAPSY agar parti itu memutuskan kerjasama dengan Akmal.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan tidak pernah berhasrat untuk bekerjasama dengan golongan muda seperti DAPSY yang saban hari dilihat membela pihak yang melakukan kesalahan. 

ALIFF FIRDAUS ABD HADI

Katanya, ini terbukti dalam beberapa insiden termasuk isu bendera terbalik di Pulau Pinang dan Pontian serta cubaan mereka mempertahankan peneroka haram durian Musang King di Pahang.

“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan berpendirian tegas bahawa kerjasama politik antara Pemuda UMNO dan DAPSY tidak membawa sebarang keuntungan kepada UMNO mahupun BN. 

“Sejak dahulu lagi, UMNO dan BN sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat serta membela kebenaran, bukannya menjadi pelindung kepada mereka yang melakukan kesalahan hanya kerana kepentingan politik,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan