PROGRAM Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Ijok, Kuala Selangor yang menyaksikan sokongan padu masyarakat berbilang kaum terhadap inisiatif kerajaan dalam memperkasa komuniti digital di peringkat akar umbi.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika merasmikan program itu berkata, kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang membuktikan NADI diterima sebagai pusat komuniti terbuka yang menyediakan ruang pembelajaran, kesihatan serta peluang sosioekonomi untuk semua.
“NADI kini bukan sekadar pusat Internet, tetapi telah berkembang menjadi hab komuniti yang inklusif untuk semua golongan baik para pelajar, belia, usahawan, ibu bapa mahupun warga emas untuk memperoleh ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperkasa kesejahteraan kendiri,” katanya hari ini.
Hadir sama Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Program HBK di NADI Pekan Ijok turut memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan maklumat serta menyertai pelbagai aktiviti.
Antaranya pameran usahawan NADI, demonstrasi pertanian pintar, pendaftaran keahlian, saringan kesihatan percuma serta aktiviti Perkhidmatan Pintar yang disediakan untuk semua peringkat umur.
Johari berkata, NADI yang didirikan di seluruh negara juga boleh bertindak sebagai platform berkesan dalam memberi pendedahan mengenai proses demokrasi kepada rakyat jelata.
Beliau berkata, melalui kerjasama itu, NADI boleh dijadikan pusat rujukan bagi Program Sekolah Parlimen dan Parlimen Belia, yang berperanan untuk melatih generasi muda dalam kepimpinan dan pemahaman demokrasi.
“Usaha ini juga adalah seiring dengan peranan NADI sebagai hab komuniti untuk mendapatkan maklumat yang tepat, sahih dan terkini,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 1,099 buah NADI telah beroperasi di seluruh negara, termasuk 84 buah di negeri Selangor dengan lebih 122,653 ahli berdaftar.
Angka ini membuktikan penerimaan positif masyarakat terhadap peranan NADI dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi.
Impak NADI kepada komuniti setempat turut terserlah apabila inisiatif NADI baru-baru ini telah berjaya meraih World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 di Geneva dalam kategori Capacity Building pada Julai lalu. — Edisi 9

