PUSAT Sebaran Maklumat Nasional (NADI), inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terus mengukir kecemerlangan apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program MADANI Rakyat (PMR) Melaka 2025.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zainuddin Mohd Noor kepada Ketua Pejabat NADI MCMC, Mohd Arif Adenan.
PMR Melaka 2025 dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Merlimau, semalam.
Menurut MCMC, kejayaan tersebut menjadi bukti pengiktirafan terhadap usaha berterusan pihaknya melalui NADI dalam memperkasa masyarakat dengan kemahiran digital, akses teknologi dan maklumat.
“(Hal ini) seiring dengan aspirasi negara untuk merapatkan jurang digital dan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.
PMR siri 2025 bermula di Tawau, Sabah dan diteruskan ke lapan lokasi lain di seluruh negara.
Setiap edisi menampilkan pendekatan dan aktiviti tersendiri bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
Antara tarikan utama reruai NADI ialah pameran dron, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti robotik dan STEM menerusi modul Tiny Techies.
Turut diadakan pemeriksaan kesihatan jantung menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan memperkenalkan teknologi terkini dengan cara mudah difahami komuniti setempat.
Golongan belia turut menunjukkan penyertaan aktif melalui Kempen Internet Selamat (KIS) dan pertandingan e-Sukan NADI MADANI seperti Mobile Legends dan e-Football.
Dalam masa sama, Perkhidmatan Pintar NADI terus mendapat sambutan menerusi lima fokus utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.
“Ini bagi membantu masyarakat mempertingkatkan kemahiran digital dan ekonomi,” katanya.
Sepanjang siri PMR tahun ini, lebih 10,000 ahli baharu telah mendaftar dengan NADI, manakala lebih 15,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan pameran di reruai NADI di seluruh negara.
Lebih membanggakan, kejayaan NADI turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila inisiatif itu memenangi kategori Capacity Building di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 di Geneva, pada Julai lalu.
Pengiktirafan tersebut menonjolkan NADI sebagai model terbaik pelaksanaan pusat maklumat komuniti seperti di Pulau Banggi, Sabah, yang berjaya memperkasa penduduk luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi digital.
Kini, terdapat 1,099 pusat NADI di seluruh negara dengan keahlian melebihi 1.8 juta orang, selaras dengan aspirasi “1 DUN 1 NADI” untuk memperluas capaian maklumat dan memperkasa komuniti digital di setiap kawasan seluruh Malaysia. — Edisi 9

