25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

‘Semangat Drawbridge’ mampu kukuhkan Muafakat Nasional Terengganu

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

MINGGU lalu, penulis berkesempatan mengunjungi seorang sahabat di Kuala Terengganu. Penulis menginap di Hotel Grand Continental. Dari bilik, penulis dapat melihat jambatan angkat atau Drawbridge yang kini menjadi tarikan pelancong ke negeri yang terkenal dengan keindahan pulau dan kehidupan penyunya.

Idea pembinaan jambatan angkat yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu datang daripada jambatan angkat di kota raya London, iaitu London Tower Bridge dan jambatan bernilai RM248 juta itu menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Jambatan itu amat indah sekali. Dua menaranya menarik perhatian penulis kerana ia melambangkan bagaimana antara kedua menara ‘menyokong’ antara satu sama lain. Namun arena politik Terengganu tidak seindah dua menara Drawbridge.

Dua parti utama di negeri itu, UMNO dan Pas masih belum dianggap ampuh dalam soal kerjasama, biarpun permusuhan antara dua parti terbesar orang Melayu itu sudah dilihat reda berikutan terbentuknya Muafakat Nasional.

Apabila kita mendengar ‘pendedahan dan luahan’ bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, sudah pasti mereka yang menyokong Muafakat Nasional akan berasa gelisah dan mungkin juga kecewa.

Antara luahan beliau ialah tidak berlaku kerjasama antara kepemimpinan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional di Terengganu. Tegas beliau, semangat kerjasama di peringkat negeri tidak wujud bukan seperti yang berlaku di peringkat nasional.

‘’Persoalan sekarang mereka (Pas) masih mengamalkan sikap yang lama. Mereka kata mahu menjalin muafakat tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Misalnya berlaku tidak adil dalam agihan wang bantuan RM10 juta daripada kerajaan Pusat bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19) di setiap negeri,’’katanya.

Selain itu, Ahmad Said turut mempersoalkan tindakan kerajaan Terengganu melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan-jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Menurutnya, individu yang mempunyai rekod yang tidak baik dan pernah dipecat didakwa turut dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

Sebagai seorang ahli politik berpengalaman dan bekas Menteri Besar, penulis percaya Ahmad Said bercakap berdasarkan fakta, bukannya mahu ‘mencari gaduh’ dengan Kerajaan Negeri pimpinan Pas. Beliau meluahkan apa yang tidak sepatutnya berlaku jika benar berpegang kepada semangat Muafakat Nasional.

Adalah wajar jika pandangan Ahmad Said itu diambil kira oleh Kerajaan Pas Terengganu. Yang mana boleh diperbetulkan, perbetulkanlah, jangan biarkan ia melarat.

Dalam soal ini, penulis cenderung melihat keindahan dan keteguhan Drawbridge boleh dijadikan contoh bagaimana mahu mewujudkan politik nyaman antara Pas dan UMNO di Terengganu.

Seperti juga Drawbridge, politik negeri itu didominasi oleh dua parti tersebut sahaja, kewujudan parti lain boleh dianggap ‘suam-suam kuku’, tiada kesan dalam menentukan hala tuju politik Terengganu.

Pas dan UMNO ibarat dua menara Drawbridge. Selepas berpuluh-puluh tahun mereka berbalah dan bergilir-gilir menjadi kerajaan negeri, kini mereka bagaikan dua menara ‘di atas satu jambatan’.

Ia tidak seharusnya digugat dengan tindakan yang boleh menimbulkan persepsi bahawa salah satu pihak tidak ikhlas dalam menjalankan permuafakatan.

Advertisements

Kalau melihat cara Ahmad Said bercakap, beliau menegur secara ikhlas sebab itulah beliau berkata, ‘’kalau nak muafakat, kita muafakat elok-elok.’’ dan ‘’yang tak betul, saya kena tegur walaupun pahit.’’

Pemimpin-pemimpin Pas di Terengganu ambillah semangat Drawbridge antara satu menara dengan menara lain memerlukan satu sama lain bagi mengekalkan keindahan dan keteguhannya, begitu juga dalam melaksanakan pentadbiran di negeri tersebut.

Jika sebelum ini ketika Pas menjadi pemerintah, UMNO menjadi pembangkang pelbagai isu berbangkit sehingga menggugat kelancaran pentadbiran kerajaan, begitulah juga apabila UMNO memerintah dahulu, tetapi sekarang ‘kebimbangan’ itu sepatutnya tidak ada kerana kedua-dua parti telah bermuafakat.

Bagaimanapun sama ada permuafakatan itu akan berjaya atau tidak, ia bergantung kepada keikhlasan kepemimpinan kedua-dua parti khususnya yang menjadi pentadbir Kerajaan Negeri.

Apabila ada kuasa janganlah melakukan tindakan yang dilihat bukannya bermuafakat tetapi ‘mahu menyekat’.

Namun begitu, penulis tertarik dengan pandangan seorang sahabat yang juga pemerhati politik di Terengganu ketika dihubungi. Tegas beliau yang juga bekas wartawan kanan sebuah akhbar;

‘’Mungkin kat Terengganu ni untuk pilihan raya, boleh buat pendekatan berbeza. Kedua-dua parti walaupun berada dalam Muafakat Nasional tetapi bertanding melawan antara satu sama lain. Siapa yang menang, bentuklah kerajaan kemudiannya bercantum semula untuk sama-sama menguruskan kerajaan negeri.’’

Ia kerana kata beliau, apa yang penting ialah memastikan kerusi Parlimen tetap dikuasai oleh Muafakat Nasional manakala di peringkat negeri, formula bertanding sesama sendiri sepatutnya dipertimbangkan melibatkan Terengganu dan Kelantan.

Apabila dengar pandangan itu penulis terbayang bagaimana Drawbridge berfungsi. Jambatan di tengah-tengah akan diangkat seketika untuk laluan kapal, sebelum ia bercantum semula bagi menghubungkan antara dua menara.

Persoalannya, apakah perlu politik Terengganu yang melibatkan Pas dan UMNO biarpun berada dalam satu muafakat sampai pada tahap tersebut?

Tidakkah itu akan menjadi modal besar kepada pembangkang bagi memecah belahkan kerjasama antara dua parti berkenaan?

Kesimpulannya, apa yang diperkatakan atau diluahkan oleh Ahmad Said perlu dititikberatkan. Jika teguran itu betul, buatlah pembetulan dan penambahbaikan.

Jika teguran beliau dianggap tidak perlu dilayan kerana beliau bukannya mentadbir kerajaan negeri, maka bersedialah untuk bertarung sesama sendiri dalam pilihan raya umum akan datang sekaligus memberi peluang kepada musuh-musuh Muafakat Nasional bertepuk tangan. Janganlah sampai ke tahap itu.

Masih ada masa untuk memperbetulkan keadaan, sebelum ia menjadi ‘barah’ sehingga menggugat penyatuan Muafakat Nasional di negeri tersebut.

Drawbridge memang indah tetapi di Terengganu juga sering kita dengar ‘penyu menangis siapa yang tahu’ – Begitu jugalah politik negeri itu melibatkan UMNO dan Pas, jangan zahirnya sahaja nampak muafakat tetapi realitinya ‘api dalam serkam semakin menyala’.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan